ADUN Limbahau keluar KDM, jadi ADUN Bebas

Juil Nuatim
Juil Nuatim
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim mengesahkan bahawa beliau keluar daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Timbalan Presiden KDM sebelum ini memaklumkan bahawa akan kekal sebagai ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan kerajaan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

"Ya saya keluar (KDM), kini sebagai ADUN Bebas buat masa ini. Saya ADUN bebas yang menyokong pimpinan Datuk Seri Hajiji dan kerajaan negeri Sabah.

"Untuk menyertai parti lain, kita tengok dulu mana parti yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ditanya sama ada mempunyai perselisihan dengan kepimpinan KDM, Juil kekal menyatakan bahawa beliau hanya mahu membawa pembangunan untuk kawasan yang diwakilinya.

"Tiada juga perselisihan dengan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, cuma di peringkat negeri kita mau bawa pembangunan di kawasan kita," tegasnya.

Sebelum itu, kerajaan Sabah dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew yang menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong penuh RUU Anti Lompat Parti itu.

Juil sebelum ini merupakan ADUN daripada Parti Warisan (Warisan) mengambil tindakan keluar daripada parti bersama Peter dan menyertai KDM yang ditubuhkan Peter sendiri.