Warga emas ditipu RM25,600 pakej umrah

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN- Seorang warga emas terpaksa berputih mata apabila kerugian RM25,600 apabila menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 63 tahun menghadiri program kursus mutawif (pembimbing umrah) yang ditawarkan syarikat tersebut menerusi WhatApps pada tahun lalu.

Menurutnya, ketika menghadiri kursus tersebut mangsa turut ditawarkan pakej umrah dengan harga RM4,900 untuk seorang individu dan pada November lalu mangsa bersetuju untuk menempah pakej umrah tersebut bersama tiga lagi ahli keluarganya dan dijanjikan akan ke Mekah pada 20 April sehingga 30 April lalu.

"Sejak daripada itu, mangsa telah membuat lapan kali pembayaran termasuk mengambil langkah mahu sambung menetap selama sebulan ketika berada di Mekah.

"Keseluruhan pembayaran sebanyak RM25,600 telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank dan pada 20 April lalu, mangsa telah dimaklumkan bahawa penerbangannya akan ditunda pada 25 April.

"Namun tiada penerbangan pada tarikh tersebut. Mangsa dan ahli keluarganya merasakan mereka ditipu dan melaporkan perkara ini kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: