Rungutan sukar dapat tiket, KKD panggil penganjur konsert Coldplay

Fahmi Fadzil. - Foto Bernama
Fahmi Fadzil. - Foto Bernama
A
A
A
KUCHING - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil penganjur konsert Coldplay yang diadakan pada November depan bagi memahami sistem serta proses penjualan tiket mereka.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini susulan rungutan orang ramai yang sukar mendapatkan tiket akibat ‘ulat tiket’ yang membeli dengan kuantiti banyak.

Katanya, perjumpaan itu juga akan membincangkan mengenai langkah-langkah boleh diambil penganjur agar perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

"Antara perkara yang mungkin akan kita teliti ialah cara tiket itu dibeli sama ada perlu ada sekatan atau pun syarat-syarat tertentu dikenakan kepada penganjur.



"Kita juga sedang teliti peruntukan undang-undang yang ada sekiranya perlu kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia, menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour mereka di Malaysia pada November ini.

Ini merupakan konsert julung kalinya dipersembahkan kumpulan muzik dari Britian itu di Malaysia, yang dijadualkan pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan menara telekomunikasi di Sarawak, beliau berkata pihak Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah berjaya membina lebih 600 menara setakat ini.

"Dari jumlah itu, kira-kira separuh yang sudah ada syarikat telco yang mengoperasikan. Kita sedang meneliti dan segera menyelesaikan masalah ini termasuk memanggil syarikat telco,” katanya. - Bernama