KKM digesa guna pendekatan bersifat menyokong

Gambar kecil: Dr Steven
Gambar kecil: Dr Steven
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia (AMAM) dan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak hanya melaksanakan dasar keras semata-mata sebaliknya, menggunakan cara pendekatan bersifat menyokong.

Presiden AMAM, Dr Steven Chow dan Presiden FPMPAM, Dr Shanmuganathan Ganesan dalam satu kenyataan bersama berkata, KKM tidak sepatutnya hanya mendesak pelaksanaan dasar keras seperti penamat generasi (GEG).

Menurut kenyataan bersama itu, gesaan itu dibuat selepas kemuncak Mesyuarat Saintifik Bersama yang berkongsi maklumat tentang mengurangkan ketagihan merokok.

“Kami mengetahui bahawa ramai perokok ingin berhenti merokok, tetapi tidak mempunyai sokongan atau alat yang betul untuk membantu perjalanan mereka.

“Bukan itu sahaja, kita juga perlu menyedari hakikat bahawa perokok yang tidak bersedia untuk berhenti daripada menghisap rokok akan cuba untuk mendapatkan produk nikotin dalam apa jua cara,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Steven dan Shanmuganathan berpandangan bahawa perokok memerlukan pendekatan yang bersifat menyokong dan bukannya larangan.

Jelas mereka, terdapat banyak kajian yang boleh dipercayai yang telah menonjolkan sains disebalik mengurangkan bahaya.

“Public Health England dan Royal College of Physicians ialah dua laporan utama telah berkongsi data saintifik yang menggalakkan bahawa usaha pengurangan kemudaratan boleh berfungsi dengan rangka kerja pengawalseliaan betul.

“Bidang pengurangan bahaya tembakau memerlukan penyelidikan segera dan rangka kerja kawal selia, khususnya di Malaysia dan kita mesti meluangkan masa untuk meneroka pilihan ini,” ujar mereka.

Pada masa sama, pakar berkenaan turut memaklumkan bahawa GEG tidak akan membendung tabiat merokok, sebaliknya mendorong perokok ke saluran tidak terkawal atau penggunaan kepada bahan seludup.

Jelas mereka, rangka kerja kawal selia untuk mengawal vape, penyelesaian vaping dan peranti vape perlu disegerakan.

Tambah kedua-dua pakar itu lagi, tumpuan berterusan ke atas GEG adalah mengganggu dasar dan penggubal undang-undang berkaitan.

“Memperkenalkan GEG dan mengecualikan pengurangan kemudaratan daripada dasar akan menyebabkan banyak peluang terlepas kerana kita mungkin kehilangan penyelesaian berdaya maju yang boleh memberi kesan bermakna terhadap penggunaan tembakau,” kata mereka.