'Semoga syurga tempat mereka'

Nasaruddin
Nasaruddin
A
A
A

KAMPAR - "Tuhan beri kesempatan saya bersama mereka setakat ini sahaja, saya reda," itu luahan pilu Nasaruddin Abu Bakar, 53, yang kehilangan isteri dan empat anak serentak dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Selasa.

Bapa kepada lapan anak itu mengakui, kehilangan serentak orang yang disayangi amat perit untuk diterima, namun perlu menerima qada dan qadar Ilahi.

Begitupun dia bersyukur kerana hidup bersama isteri dan anak-anaknya dilalui dalam keluarga yang harmoni dan sejahtera.

"Terima kasih kerana ALLAH beri kesempatan sepanjang tempoh 24 tahun (perkahwinan bersama isteri) dikurnia anak-anak ini.

"Ada yang 23 tahun, 8, 7, dan yang kecil sekali 5 tahun. Semoga ALLAH kurnia syurga untuk mereka," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kampar di sini pada Selasa.

Nasaruddin memeluk anaknya sebaik tiba di Unit Forensik Hospital Kampar bagi proses tuntutan jenazah isteri dan anak-anaknya.
Nasaruddin memeluk anaknya sebaik tiba di Unit Forensik Hospital Kampar bagi proses tuntutan jenazah isteri dan anak-anaknya.

Nasaruddin yang bekerja di UEM Edgenta Bhd berkata, tanggungjawabnya kini lebih besar sebagai ibu dan bapa untuk membesarkan empat lagi anaknya, Ahmad Hazim Zuhdi, 21, Muhammad Ilham, 20, Ahmad Danish Basyir, 16, dan Siti Nur Khadijah, 14.

"Kehidupan perlu diteruskan, moga dapat jalani dengan lebih sempurna. Mohon doakan untuk saya dan anak-anak," katanya.

Menurutnya, ketika nahas itu berlaku, dia berada di Bertam, Pulau Pinang atas urusan kerja.

"Dalam jam 5 pagi begitu, saya dapat panggilan daripada polis maklumkan kejadian. Saya terus ke sini untuk uruskan semua jenazah," katanya.

Jenazah lima sekeluarga berkenaan akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Padang Rengas selepas selesai solat Asar.

Azriyani Abdul Latif, 45, maut dalam nahas sebuah kereta dan lori di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 2.27 pagi itu, Azriyani Abdul Latif, 45, bersama tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi, Muhammad Fawwaz Nasarudin, 7, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.

Semasa kejadian, lima beranak itu dalam perjalanan ke Tapah menaiki kereta jenis Proton Saga dipandu Muhammad Azib.

Sampai di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.