Jemaah haji luar giliran dikenakan caj penuh RM30,850

Syed Saleh
Syed Saleh
A
A
A

SEPANG - Jemaah haji yang membuat rayuan di luar giliran mereka perlu membayar kos penuh RM30,850 seorang.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, hanya individu B40 yang giliran haji mereka pada tahun ini layak menerima subsidi penuh.

"Mereka yang di luar giliran dan membuat rayuan tidak kisah sama ada B40, M40 dan T20 perlu membuat bayaran penuh," katanya pada Majlis Keberangkatan Petugas Haji Advance Party 1444H di Movenpick Hotel dan Convention Centre di sini pada Ahad.

TH menetapkan bayaran haji 1444H kumpulan B40 sebanyak RM10,980, M40 (RM15,980) dan T20 (RM30,850).

Syed Saleh berkata, surat tawaran haji telah diedar kepada bakal jemaah dan hanya sekumpulan kecil yang menolak tawaran itu disebabkan beberapa faktor antaranya masalah peribadi, kesihatan dan lain-lain.

Pelepasan petugas TH bagi musim 1444H.
Pelepasan petugas TH bagi musim 1444H.

"Disebabkan itu, ada beberapa kekosongan perlu diisi oleh golongan yang sedang menunggu giliran.

"Jumlah yang tolak agak kecil kerana kebanyakan daripadanya menerima tawaran itu dan telah hadir kursus perdana haji," katanya

Dalam pada itu beliau berkata, setakat ini kuota haji pada tahun ini kekal 31,600 orang dan TH masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Arab Saudi sekiranya terdapat pertambahan pada saat-saat akhir.

"Seperti biasa setiap tahun kita memohon untuk tambahan kuota bagi mengurangkan tempoh menunggu (giliran) tetapi pada masa sama, kerajaan Arab Saudi juga perlu memberi perhatian daripada negara-negara yang lain juga.

"Seperti yang kita sedia maklum pada tahun ini kuota haji kembali kepada asal, jadi semua negara mempunyai kuota yang tinggi, maka untuk mendapatkan kuota tambahan ini kita masih perlu menunggu pertimbangan daripada mereka," katanya.