KPT saran UTHM bantu pemetaan ekosistem TVET

Mohamed Khaled ketika meninjau tapak Pameran Berimpak Tinggi TVET di UTHM.
Mohamed Khaled ketika meninjau tapak Pameran Berimpak Tinggi TVET di UTHM.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disaran membantu pemetaan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UTHM bersama-sama dengan universiti lain di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) perlu bekerjasama memperkasa program-program yang ditawarkan, termasuk pengenalan TVET aras tinggi (HTVET) dan program lepasan ijazah TVET.

"Saya telah tekankan bahawa pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada bagaimana TVET dijayakan.

"Sebagai universiti sulung dan salah sebuah daripada empat universiti di bawah MTUN, adalah menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melihat UTHM membantu pemetaan ekosistem TVET negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, KPT akan mengkaji keperluan menambah bilangan kemasukan pelajar dalam TVET di universiti bawah MTUN sesuai dengan keperluan semasa negara.

"Saya telah sarankan UTHM meningkatkan kerjasama dengan pihak industri terutamanya dalam penyelidikan serta memperhebat program kelestarian dan perantisan bagi mencapai hala tuju yang telah digariskan, terutama dalam bidang tujahan berasaskan teknologi lestari dan pengangkutan," ujarnya.

Terdahulu beliau telah mengadakan lawatan kerja ke universiti berkenaan pada Isnin lalu dengan meninjau tapak Pameran Berimpak Tinggi TVET UTHM.

Mohamed Khaled turut meninjau perkembangan aktiviti pelajar selain menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM dan pihak industri terlibat.

Selain itu beliau turut mendengar pembentangan pencapaian pelajar termasuk pelan pelaksanaan inisiatif Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030) oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Ruzairi Abdul Rahim.