'Pembangkang perlu berubah'

Fakrurrazi
Fakrurrazi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang harus memberi nilai tambah kepada perdebatan dalam Dewan Rakyat dengan mengangkat isu dasar dengan lebih berstruktur yang akan membawa kepada penyelesaian masalah, bukan mengulangi isu politik sahaja.

Penyelidik Kanan Merdeka Center, Fakrurrazi Rashid berkata, pembangkang tidak wajar hanya mencabar keabsahan sokongan kepada Perdana Menteri berkali-kali serta mengkritik kerajaan semata-mata.

“Pembangkang itu bukan kerjanya hanya mengkritik kerajaan dan hanya pergi ke Parlimen untuk menguji undi percaya kepada Perdana Menteri. Kerana pada hari ini jika saya lihat, perdebatan antara kerajaan dan pembangkang itu seperti tiada perdebatan yang struktural.

“Tidak ada polisi yang konkrit bagaimana kita hendak menyelesaikan isu pekerja, ekonomi gig, aspirasi anak muda yang mempunyai keluarga dan mempunyai masalah ekonomi dan sebagainya.

“Kerana perdebatan hanyalah tentang pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kerajaan dan pembangkang perlu berjiwa besar. Debat dengan dasar dan polisi yang lebih baik untuk masyarakat,” katanya dalam program Agenda Awani.

Fakrurrazi berpendirian pemahaman tentang peranan pembangkang hari ini tidak boleh disamakan dengan pemahaman zaman sebelumnya.

Katanya, tugas pembangkang sebagai semak dan imbang yang berkesan kepada kerajaan perlu diterapkan demi membentuk demokrasi yang lebih matang dalam negara.

“Kalau kita lihat definisi pembangkang dalam konteks pembangkang berwibawa, kalau pada tahun 1960-an dan 70-an, kita melihat pembangkang sebagai musuh ketat kerajaan. Perkara ini sebenarnya perlu berubah. Kerana pembangkang ini adalah government-in-waiting, sekiranya berlaku peralihan kuasa dalam pilihan raya,” jelasnya lagi. - Awani