Yasin diarah rujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental

Yasin
Yasin
A
A
A

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, mengarahkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan daripada pasukan pembelaan.

Semasa prosiding, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu berkata, pihaknya membuat memohon itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, terdapat asas yang kuat untuk kesihatan mental penyanyi berusia 48 tahun yang lebih dikenali sebagai Yasin itu diperiksa oleh pakar psikiatrik.

“Pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak untuk dibicarakan atau tidak.

“Pembelaan telah mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit ‘Bipolar Disorder Type I’ sejak 2007,” katanya, ketika sebutan kes pada Isnin.

Beliau berkata, laporan itu juga menunjukkan Yasin pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya.

Menerusi laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), beliau berkata, pihak itu mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

Selain Ariff, Yasin turut diwakili peguam, Nur’ain Shahiera Khalid.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini berkata, pasukan pendakwaan tidak membantah perkara itu dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Jun depan untuk laporan psikiatrik.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan dijalankan selama 15 hari bermula 6 Mac lalu, yang mana seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.