Mahfuz samakan Sanusi dengan Mr Bean

Mahfuz (kiri) bersama pimpinan Amanah bergambar bersama sempena Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Bayan Lepas, pada Ahad.
Mahfuz (kiri) bersama pimpinan Amanah bergambar bersama sempena Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Bayan Lepas, pada Ahad.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengakui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor popular dan boleh disamakan dengan pelawak terkenal, Mr Bean.

Menurutnya, Muhammad Sanusi bukan sahaja mampu berjenaka dan bernyanyi malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu boleh membuatkan orang lain terhibur seperti dilakukan Mr Bean.

"Saya pun terkejut dengan kenyataan dia...Bila pula saya tumpang populariti dia? Tapi saya akui dia sangat popular seperti Mr Bean yang popular dengan lawak jenakanya.

"Dia (Muhammad Sanusi) boleh menyanyi, dia sangat popular, boleh gelak besar seperti Mr. Bean,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Rahmah Aidifitri anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) di Teluk Kumbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu cuba menumpang populariti melalui kes saman fitnah ke atas beliau.

Muhammad Sanusi berkata, ia memandangkan wang bayaran untuk kes saman fitnah itu telah diserahkan kepada peguamnya untuk dibayar kepada Mahfuz minggu lepas.

Beliau berpandangan, tindakan Mahfuz meminta bayaran yang dimuat naik di laman sosial sebelum ini hanyalah untuk menumpang popularitinya memandangkan nama Naib Presiden Amanah kini sudah tenggelam.

"Saya sudah serahkan duit kepada peguam saya seminggu yang lalu. Peguam saya sedang urus dengan peguam dia, itu saya kata hal ini biar peguam dengan peguam, sebab kita sudah lantik peguam masing-masing.

"Tidak payahlah guna Facebook, TikTok. Tidak ada isu bankrap tidak bayar kerana semua diurus peguam. Dia nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau (kalah majoriti undi) 31,000 apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik," ujarnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Mahfuz berkata, beliau atau peguamnya setakat ini belum menerima apa-apa bayaran susulan kes saman fitnah itu daripada Muhammad Sanusi.

"Kalau dia nak bagi (bayaran saman) kepada peguam atau beri terus kepada saya daripada awal dia boleh bagi.

"Tetapi sehingga kini wang berkenaan belum saya terima dan peguam saya juga belum terima," jelasnya.