Shuib, Watie selamat bertunang, bakal nikah 23 Jun

Shuib dan Watie bakal melangsungkan pernikahan pada 23 Jun depan.
Shuib dan Watie bakal melangsungkan pernikahan pada 23 Jun depan.
A
A
A

PELAWAK dan penyampai radio Suria FM, Shuib selamat bertunang dengan usahawan, Watie Hanifah dalam satu majlis tertutup di Shah Alam, pada Sabtu.

Berita gembira itu dikongsi Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad menerusi hantaran berbentuk video di Instagram Story.

"Assalamualaikum, Shuib ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Hari ini 6 Mei 2023, alhamdulillah, saya baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan Watie.

"Saya mohon doakanlah semoga perjalanan kami dipermudahkan. Doakan yang baik-baik untuk kami. Doakan tau.. Selamat Hari Raya," katanya.

Sementara itu memetik laporan Gempak, Shuib menghadiahkan tiga dulang hantaran termasuk sirih junjung, kasut dan manisan kepada Watie.

Pihak wanita pula membalas lima dulang berupa kasut, manisan, sirih junjung, buah-buahan dan sampin.

Shuib turut memanjatkan rasa syukur atas majlis pertunangannya bersama Watie.

Menurut Shuib, dia juga tersentuh melihat kedua belah keluarga bakal disatukan tidak lama lagi.

"Perasaan yang cukup berdebar-debar dari semalam, dari rumah lagi. Jadi lainlah, tapi ada rasa seronok dan terharu. Sebab melihat bekas mentua, mak dan sebelah sana keluarga disatukan, rasa terharu dan bersyukur.

"Dalam kehidupan kita tak sangka apa yang ALLAH aturkan. Apa yang boleh diharapkan adalah doa daripada semua orang. Sebab kita menjalani apa yang ALLAH tulis.

"Harap doa daripada semua orang boleh menguatkan untuk kita menuju ke arah yang lebih baik. Tak ada orang nak kehidupan tak best. Semua orang harapkan kebahagiaan. Harap doalah baik-baik untuk saya sekeluarga," kata Shuib.

Pasangan itu dijangka melangsungkan pernikahan pada 23 Jun depan.

Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.