Pelajar terpaksa 'tunai hajat' di tandas tiada pintu

Keadaan tandas sekolah tanpa pintu sejak sekian lama.
Keadaan tandas sekolah tanpa pintu sejak sekian lama.
A
A
A

JASIN - [DIKEMASKINI] Hampir 400 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota (SMKSM) berusia dari 29 hingga 59 tahun berjaya dikumpulkan pada Malam Perdana Alumni SMSM 2019 yang dianjurkan buat julung kalinya, malam tadi.

Tujuan utama majlis yang diadakan di Dewan Mahkota SMKSM itu bagi mengumpul dana membantu sekolah memperbaiki kerosakan serius membabitkan beberapa kemudahan di sekolah berusia hampir setengah abad itu.

Pengerusi Alumni, Zainal Mahadi berkata, banyak kerosakan dikenal pasti termasuk kelas, kebocoran dewan dan paling teruk sekali pelajar terpaksa membuang air dalam keadaan tandas tidak berpintu sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, juateru pada malam berkenaan, Alumni SMSM melancarkan kutipan tabung untuk membantu membaiki keperluan prasarana sekolah yang sudah usang itu.

Pintu kelas yang usang. (Gambar kecil: Zainal Mahadi)
Pintu kelas yang usang. (Gambar kecil: Zainal Mahadi)

"Selain itu, kita berhasrat untuk membantu dari segi akademik terutama pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran dengan mengadakan sesi kelas tambahan dan sebagainya.

"Kita turut merancang membantu dari segi keceriaan sekolah serta mencantikkan persekitarannya kerana kami dimaklumkan PIBG keadaan sekolah yang uzur juga menjejaskan minat murid untuk belajar," katanya.

Beliau ditemui media pada Malam Alumni sekolah terbabit yang dirasmikan Setiausaha Khas Ketua Menteri Melaka, Mohamad Ali bin Shariff bagi mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari di sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Jasin, Dr Mohd Azam Ahmad; Yang Dipertua PIBG SMKSM, Khalid Lambak dan Pengetua SMKSM, Rosinah Mat Din.

Tingkap kelas yang melopong tanpa jenang dan cermin.
Tingkap kelas yang melopong tanpa jenang dan cermin.

Sejumlah hampir RM15,000 berjaya dikumpulkan pada peringkat awal bagi mengisi tabung berkenaan termasuk kutipan kilat berjumlah kira-kira RM3,800 pada Malam Perdana Alumni SMSM.

Zainal berkata, pihaknya turut merancang mengadakan Malam Perdana Alumni setiap tahun.

"Kita mengharapkan penganjuran akan datang mendapat sambutan lebih ramai dan kemungkinan kami akan mencari lokasi lebih besar lagi," katanya.