Rajagopal kurang puas hati aksi skuad Semut Merah

 Pemain PKNS FC Kpah Sean Sherman (tengah) meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan Kuala Lumpur FA dalam perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
Pemain PKNS FC Kpah Sean Sherman (tengah) meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan Kuala Lumpur FA dalam perlawanan Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal kurang berpuas hati dengan persembahan skuad Semut Merah yang sekadar mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas pasukan bawahan, Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui barisan pemainnya menampilkan aksi terbaik pada babak awal perlawanan, namun kelalaian selepas mendapat dua gol awal, jelas memberi peluang kepada pasukan pelawat memperoleh satu gol pada separuh masa perlawanan.

"Selepas kita meraih gol pertama, tempoh permainan agak perlahan, tiada hantaran tepat, pemain tidak bergerak dengan pantas kemudian kita dibolosi pada minit akhir separuh masa pertama.

"Kita berpeluang menjaringkan lebih tiga gol kerana ada masa serangan kita nampak bagus, jika pemain tidak terlalu agresif dan lebih fokus mungkin banyak gol dapat dihasilkan dalam perlawanan itu," katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan, malam tadi.

Dalam pada itu, Rajagobal memuji aksi cemerlang penyerang import dari Liberia, Kpah Sean Sherman yang berjaya menjaringkan dua daripada tiga gol PKNS FC pada perlawanan berkenaan.

Pada perlawanan itu, PKNS FC mendahului 2-1 pada babak pertama permainan hasil jaringan Romel Morales seawal minit pertama dan Sherman pada minit ke-30, sebelum kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-42.

Sherman meledak gol peribadi kedua pada minit ke-78, sebelum penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula Lucrecio menjaringkan gol kedua Kuala Lumpur, selang tiga minit kemudian.- Bernama

Artikel Berkaitan: