Brighton tundukkan United

Mac Allister (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Manchester United. - Foto AFP
Mac Allister (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Manchester United. - Foto AFP
A
A
A

BRIGHTON melunaskan janji untuk membalas dendam atas kekalahan mereka kepada Manchester United pada separuh akhir Piala FA selepas Alexis Mac Allister menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-99 untuk menjejaskan harapan The Red Devils ke Liga Juara-Juara.

Brighton tampil dengan permainan berkualiti di Stadium Amex mendominasi penguasaan bola tetapi tidak mempunyai peluang sehingga bola terkena tangan Luke Shaw pada masa kecederaan memberikan mereka peluang untuk meraih tiga mata.

Keputusan 1-0 itu melengkapkan kemenangan berganda Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas United.

Ia selepas pasukan itu turut menewaskan anak buah Erik ten Hag dalam perlawanan pertama musim ini tetapi mengalami kekalahan yang menyakitkan menerusi sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA bulan lalu di Wembley.

United kekal di kedudukan keempat EPL dan kedudukan terakhir untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara.

Mereka dibezakan empat mata di hadapan Liverpool di tangga kelima namun mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan manakala Brighton naik ke tangga keenam.

"Ada tuhan bola sepak. "Kami berhak memenangi separuh akhir tetapi tewas menerusi sepakan penalti tetapi hari ini kami menang dengan penalti.

"Dalam kedua-dua perlawanan saya rasa kami bermain lebih baik daripada United," kata pengendali Brighton Roberto De Zerbi.