Malang nasib Lampard

Lampard terkedu tewas buat kali keenam sejak dilantik sebagai pengurus sementara Chelsea. - Foto EPA
Lampard terkedu tewas buat kali keenam sejak dilantik sebagai pengurus sementara Chelsea. - Foto EPA
A
A
A

FRANK Lampard tergamam setelah menyaksikan Chelsea 'ditelan' pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal 1-3 awal pagi Rabu.

Kekalahan itu turut memahat sejarah buruk buat Lampard apabila muncul pengurus Inggeris pertama tewas 10 perlawanan berturut-turut saingan liga utama dalam tempoh 35 tahun.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman The Blues itu tewas semua enam perlawanan sejak dilantik pengurus sementara selepas pemecatan Graham Potter.

Selepas kalah empat aksi terakhir ketika membimbing Everton dia kini senasib pengurus Derby County, Arthur Cox pada 1988 - juga dengan dua kelab berbeza.

"Kami perlu mencari punca secepat mungkin. Sejak permulaan (awal musim) hingga penamat," ujar Lampard.

Lampard mungkin tidak menjangkakan nasib malang menimpanya apabila kembali ke Stamford Bridge buat kali kedua mengendalikan kelab selepas dipecat pada 2021.

Dia kelihatan terkedu setelah Arsenal mengambil peluang di atas kelemahan pertahanan Chelsea sehingga mendahului 3-0 selepas 34 minit.

Meskipun prestasi pada separuh masa kedua lebih baik, Lampard turut membayangkan tugas sukar bakal dipikul jurulatih Chelsea selepas ini.

"Ia bukan penyelesaian satu malam. Jawapan utama adalah mudah. Kami perlu melakukan perkara asas lebih baik dan selepas itu barulah nampak kemajuan," katanya.

Pengurus berusia 44 tahun itu hanya menang satu daripada 20 perlawanan terakhirnya sebagai pengurus.

Terlalu ramai pemain mahal Chelsea yang beraksi di bawah tahap sebenar dan penyokong mula mempersoalkan komitmen mereka, namun Lampard menafikannya.

"Pemain tidak seperti mereka sangka. Penyokong mempersoalkan kesungguhan pemain tetapi saya tidak bersetuju

"Pemain saya mahu beraksi dengan baik tetapi perlu difahami. Mereka berlatih setiap hari. Bagaimana mempersiapkan diri dan mengekalkan tahap kecergasan," ujar Lampard.