UKIS bantu tingkat ekonomi penduduk

Dzulkefly (duduk,tengah) bergambar bersama jawatankuasa UKIS dan peserta pada Kursus Induksi pertama UKIS di Dewan Paya Mengkuang, Gelang Patah, semalam.
Dzulkefly (duduk,tengah) bergambar bersama jawatankuasa UKIS dan peserta pada Kursus Induksi pertama UKIS di Dewan Paya Mengkuang, Gelang Patah, semalam.
A
A
A

GELANG PATAH - Program Usahawan Kota Iskandar (UKIS) diyakini mampu menjadi platform baharu dalam memperkasa budaya perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan penduduk di sekitar kawasan ini.

ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif yang pertama kali diperkenalkan khusus bagi penduduk di kawasan berkenaan adalah melibatkan pelbagai pengisian seperti kaedah pemerolehan modal dan kursus kemahiran.

“Kawasan di bawah DUN Kota Iskandar khususnya Gelang Patah ini adalah penempatan yang kita dapati mempunyai potensi untuk pembangunan pesat di masa akan datang selain menjadi lokasi tumpuan dalam jajaran Wilayah Pembangunan Iskandar selepas kepadatan di kawasan pusat bandar.

“Jadi seiring dengan proses kemajuan itu, kita juga mahu taraf hidup penduduk di kawasan ini dapat beralih ke zon yang lebih baik atau dapat bebas dari kepompong kemiskinan.

“Daripada usaha ini, kita melihat bidang keusahawanan adalah cara yang paling terbaik, malah cara ini juga boleh dilakukan sebagai kerjaya sokongan untuk menambah pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa hadir menyempurnakan Kursus Induksi pertama UKIS, di Dewan Paya Mengkuang, di sini semalam.

Dzulkefly berkata, beberapa agensi kerajaan juga akan bekerjasama dalam membantu peserta program itu mendapatkan pengetahuan mengenai sektor keusahawanan.

“Kita tahu kebanyakan daripada peserta ini mempunyai keinginan untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Jadi di sini mereka akan diberikan seberapa banyak pendedahan serta menjalani kursus kemahiran yang diadakan.

“Selain itu, menerusi UKIS juga, peserta yang terlibat dapat mengetahui saluran terbaik untuk mendapatkan pinjaman modal permulaan hasil kerjasama yang dilakukan dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebagai permulaan, UKIS menyasarkan penyertaan peserta seramai 1,000 orang yang dipilih ketua kampung masing-masing berdasarkan taraf pendapatan.

“Kita menerima penyertaan yang baik, untuk kursus induksi pertama ini sahaja seramai 350 peserta dari pelbagai sektor perniagaan telah berdaftar,” katanya.