Dr Malar terima Anugerah Pekerja Contoh

Anwar (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh kepada Dr Malar (tengah) pada Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh kepada Dr Malar (tengah) pada Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Doktor aktivis, Dr Malar Santhi Santherasegapan yang turut dikenali sebagai pempengaruh media sosial dinobat sebagai Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Isnin.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kepetahan berkongsi pelbagai maklumat berkaitan pandemik Covid-19, vaksin dan masalah kesihatan menerusi laman sosial dengan bahasa Melayu yang fasih menyebabkan pegawai perubatan itu mempunyai pengikut yang ramai.

Sementara itu, Dr Malar yang kini bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Selangor, menyifatkan anugerah yang diterima itu sebagai penghargaan besar buat dirinya.

Watak utama di sebalik 'Celoteh Dr Malar' itu turut berterima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan berkenaan.

"Saya juga berterima kasih kepada insan di sebalik Celoteh Dr Malar termasuk ibu bapa, suami serta dua pengurus," katanya.

Jelas doktor berusia 40 tahun itu, perkongsian mengenai tip kesihatan itu disifatkan sebagai 'tanggungjawab' sosial kepada masyarakat.

"Saya mahu terus berkongsi maklumat kesihatan kepada orang ramai dengan cara paling mudah, santai dan senang difahami menerusi media sosial.

"Kalau boleh saya nak kurangkan kesesakan di hospital dengan memberi ilmu serta tip kesihatan kepada orang ramai," katanya.

Dr Malar sebelum ini melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pengurusan Pentadbiran dalam bidang Pengurusan Penjagaan Kesihatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu turut boleh bertutur dalam bahasa Russia kerana pernah belajar di Universiti Perubatan Krimea (CSMU), Ukraine.