Sirap batuk tak berdaftar, KKM nasihat henti penggunaan

Dr Muhammad - Foto Bernama
Dr Muhammad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sirap batuk Guaifenesin Syrup TG Syrup yang dikilangkan oleh QP Wharmachem Ltd (Punjab, India) tidak didaftarkan di Malaysia.

Justeru Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menasihatkan orang ramai yang berkemungkinan mengambil produk berkenaan menghentikan penggunaan segera dan dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.

"Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati produk tersebut tidak selamat digunakan terutama dalam kalangan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan kesan serius atau kematian.

"Meskipun produk ini tidak berdaftar di Malaysia, KKM ingin mengambil kesempatan untuk menasihati orang awam yang berkemungkinan menggunakan atau mengetahui sesiapa yang sedang mengambil produk ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan sekiranya mengalami kesan sampingan atau kesan advers," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai sirap ubat batuk Guaifenesin TG dari Kepulauan Marshall buatan India itu mengandungi 'jumlah dietilena glikol dan etilena glikol yang tidak boleh diterima'.

Amaran terbaharu daripada badan kesihatan global itu dibuat beberapa bulan selepas WHO mengaitkan sirap ubat batuk jenama lain yang dikeluarkan di India dengan kematian kanak-kanak di Gambia dan Uzbekistan.

Dalam pada itu Muhammad Radzi menjelaskan, pengambilan produk sirap ubat batuk yang tercemar dengan diethylene glycol (DEG) dan ethylene glycol (EG) adalah toksik kepada manusia yang boleh memberikan beberapa kesan, malah berisiko maut.

Antara gejala yang dialami seperti sakit pada bahagian abdomen, muntah, cirit-birit, kesukaran untuk membuang air kecil, sakit kepala, perubahan pada keadaan mental dan kecederaan teruk pada buah pinggang.

Oleh yang demikian beliau turut menggalakkan orang ramai membuat aduan sekiranya terdapat keraguan mengenai kualiti dan keselamatan produk yang sedang digunakan.

"KKM menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin serta akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan produk tidak berdaftar di pasaran boleh salurkan aduan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau laporkan ke cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan atau hubungi 03-78413200 untuk tindakan sesulan.