Pukul anak dengan penyangkut baju hingga mati

PDRM
PDRM
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan sepasang suami isteri dalam lingkungan awal 20-an dan 30-an kerana dipercayai mendera anak lelaki mereka berusia empat tahun sehingga meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan didera dengan tangan selain penyangkut baju (hanger).

"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berketurunan India itu sekitar jam 1.30 petang Jumaat, di rumah mereka kerana dipercayai terlibat dalam kes dera, seorang kanak-kanak.

"Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, belakang telinga, perut dan kaki disahkan telah meninggal dunia ketika tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), sekitar 8.20 pagi, pada Jumaat.

"Hasil tangkapan tersebut, pihak polis telah membuat beberapa rampasan barang lain yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa," katanya pada Sabtu.

Kedua-dua suspek telah direman di Mahkamah Johor Bahru dan tempoh reman bagi suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan adalah selama tujuh hari hari, mulai 29 April hingga 5 Mei manakala suspek wanita yang tidak bekerja merupakan ibu kandung mangsa ditahan selama dua hari mulai 2 April hingga 30 April.

Kes di siasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak).

Jika disabit bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Kes masih dalam siasatan untuk mengesan saksi dan bukti-bukti lain.

Untuk rekod, suspek lelaki merupakan bapa tiri kepada mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah.

Difahamkan, mangsa turut mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan suspek wanita kini hamil dua bulan.