Johari dilantik Bendahari Agung BN

Siaran media. Johari Abdul Ghani (kanan).
Siaran media. Johari Abdul Ghani (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Bendahari Agung parti itu bagi menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pelantikan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.

Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pelantikan tersebut berdasarkan fasal 8.3.(E) Perlembagaan BN.

"Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi turut dilantik sebagai wakil sayap-sayap berkenaan dalam BN.

Turut dilantik pengganti wakil UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke Dewan Tertinggi iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua," katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat juga mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Penyelaras Negeri serta bahagian.

Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei depan.