Bangunan MACA dijangka dibuka semula 18 Mei ini

Alexander Nanta Linggi. - Foto Bernama.
Alexander Nanta Linggi. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang terjejas dengan insiden tanah runtuh pada 25 April lepas, dijangka dapat dibuka dan digunakan semula dalam tempoh tiga minggu iaitu pada 18 Mei depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan semula kawasan itu akan dibuat selepas bekalan elektrik dan air serta sistem kumbahan dipulihkan, selain laluan sementara siap dibina.

Perkara itu dimaklumkan Nanta menerusi catatan di laman Facebook beliau, selepas penerangan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan pasukan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Secara spesifik, tempoh tiga minggu itu diperlukan bagi membolehkan kerja sementara dilaksanakan, antaranya pemasangan kepingan terpal (tarpaulin sheet) ke atas permukaan cerun terdedah yang bermula pada 26 April.

"Pemasangan besi penahan runtuhan tebing (sheet pile) dan pembinaan laluan akses sementara selama dua minggu bermula 28 April hingga 12 Mei,” menurut catatan itu.

Selain itu, Nanta berkata pemasangan enam Sistem Amaran Awal (EWS) telah dibuat semalam, manakala empat lagi akan dipasang setelah kerja sheet pile selesai.

Pemasangan utiliti sementara juga mengambil masa dua minggu yang melibatkan Tenaga Nasional Bhd (TNB), Air Selangor, Telekom Malaysia dan sistem air kumbahan, katanya.

Pada masa sama Nanta berkata kerja pembaikan kekal dijangka mengambil masa maksimum dua tahun yang melibatkan kerja ukur, kajian penyiasatan tapak (SI), proses perolehan dan kerja pembinaan selama 12 bulan.

Beliau memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. - Bernama.