Staf tak jawab panggilan di talian hotline digantung tugas

Hantaran pengguna akaun Facebook mengenai perkhidmatan hotline SUKE.
Hantaran pengguna akaun Facebook mengenai perkhidmatan hotline SUKE.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (SUKE) menggantung tugas kakitangan talian 'hotline' yang didakwa tidak menjawab panggilan daripada pengguna.

Dalam kenyataan SUKE memaklumkan, penggantungan tugas itu berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan dalaman dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Jika kakitangan yang terlibat didapati bersalah dan cuai dalam menjalankan tugas, tindakan yang lebih tegas bakal diambil terhadap mereka.

"Tindakan ini dibuat sebagai usaha kami untuk memastikan akauntabiliti dan bagi mengelakkan kejadian seumpama daripada berlaku pada masa hadapan.

"SUKE sentiasa mengambil serius terhadap pandangan dan maklum balas daripada pengguna dan komited untuk menambah baik tahap perkhidmatan kami," menurut kenyataan itu.

Terdahulu pada Selasa, seorang pengguna akaun Facebook membuat hantaran mengenai talian hotline SUKE yang tidak berjawab susulan terdapat kemalangan di lebuh raya berkenaan.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Dalam pada itu, orang ramai juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah-alih PROLINTAS yang boleh didapati secara percuma di Google Play dan Apple Store.

"Hubungi hotline Pusat Panggilan Berpusat PROLINTAS 1-800-22-8888 untuk menyalurkan sebarang maklumat atau memerlukan bantuan," menurutnya.