Tabiat aneh, nama manusia popularkan kambing Azroy

Azroy bersama kambing-kambingnya yang manja.
Azroy bersama kambing-kambingnya yang manja.
A
A
A

GOMBAK - Keletah Azroy Manaf, 38, bersama beberapa kambing kesayangannya yang masing-masing diberi nama manusia mendapat perhatian netizen.

Anak sulung daripada 12 beradik itu berkata, dia tidak menyangka orang ramai memberi reaksi positif selepas video pertama dengan kambing bernama Kamarudin tular selepas dikongsi di aplikasi TikTok pada tahun 2019.

“Kamaruddin bukan lucu tapi dia aneh kerana tabiatnya yang suka makan kuih-muih termasuk kek dorayaki dan minum susu segar berjenama yang dibeli di pasar raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azroy, selain Kamaruddin, terdapat kira-kira 80 kambing lain diberikan nama antaranya Tyson, Madam Liew, Moshi, Khuzairi, Aulia dan Rex.

Difahamkan, nama itu diberi mengikut karakter kambing dan banyak diambil daripada nama rakan atau orang terdekat yang ada personaliti sama.

“Semua nama yang diberikan saya ingat satu persatu. Dek kerana keunikan itu, pengikut Kambing Yang Aneh di TikTok meningkat sehingga 550,000 manakala di Facebook seramai 236,000 orang,” katanya.

Tambahnya, setiap hari dia akan bersiaran secara langsung sebanyak tiga kali dengan durasi lebih sejam untuk setiap siaran.

“Orang suka tengok gelagat kambing ketika diberi makanan menyebabkan kandang Temasek Agro di Gombak ini mula dikunjungi orang ramai.

Kebanyakan peminat Kambing Yang Aneh bukan sahaja datang dari dalam negara malah ia turut mempunyai pengikut di Singapura, Brunei, Jerman, Arab Saudi, Hong Kong dan Indonesia.

“Rupa-rupanya content live saya setiap hari menjadi terapi kepada mereka yang mempunyai tekanan perasaan, malah ada yang datang ke kandang untuk tujuan penyembuhan dan mendapatkan ketenangan.

“Ada pengikut saya mengalami penyakit keresahan melampau dan pernah cuba membunuh diri, tetapi disebabkan mereka minat menonton Kambing Yang Aneh ia sedikit sebanyak dapat melupakan seketika penyakit yang dihadapi,” jelas Azroy.

Bekas penasihat jualan automatif itu berkata, disebabkan itu timbul rasa tanggungjawab dalam diri membuatkan dia nekad membuat siaran langsung di TikTok setiap hari.

“Pernah saya tak bersiaran selama dua minggu, ramai yang minta saya teruskan macam biasa,” katanya.

Azroy bersama Kamarudin yang menjadi pencetus fenomena Kambing Yang Aneh.
Azroy bersama Kamarudin yang menjadi pencetus fenomena Kambing Yang Aneh.

Jelas Azroy, sebagai menghargai peminat dan pengikut setianya, dia turut menyediakan ruang khas kepada mereka yang mahu melawat kandang kambingnya.

“Boleh dikatakan setiap minggu ada saja peminat yang datang ke kandang untuk melihat kambing ternakan saya.

“Saya usahakan sikit-sikit demi mereka, sekarang dah ada bilik solat jadi sesiapa yang hendak datang saya amat alu-alukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan untuk meluaskan kandang kambingnya, Azroy mengakui dia dalam proses untuk menempatkan lebih banyak kambing dan lembu pada satu masa.