TLDM, polis musnah bom Perang Dunia Kedua

Pasukan Pemusnah Bom TLDM bersama PDRM memusnahkan bom lama dikenali sebagai UXO di Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah. (Gambar kecil: UXO)
Pasukan Pemusnah Bom TLDM bersama PDRM memusnahkan bom lama dikenali sebagai UXO di Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah. (Gambar kecil: UXO)
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memusnahkan bom lama dikenali sebagai Unexploded Ordnance (UXO) di Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah pada Isnin.

Menurut kenyataan TLDM, kerja-kerja memusnahkan bom lama itu dilakukan oleh pasukan tersebut yang dianggotai Pasukan Selam bersama Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Letupan Timur bersama PDRM pada petang Isnin.

"TLDM telah menerima permohonan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud untuk memeriksa suatu objek yang disyaki bom lama di pesisiran pantai Pulau Mantanani yang berada 43 batu nautika Timur Laut Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).

"Hasil siasatan dan temubual saksi, pasukan Pemusnah Bom TLDM telah mengesahkan objek berkenaan adalah UXO yang tidak aktif jenis Semi Armour Piercing Bomb, 500lbs, AN-M58 buatan Amerika Syarikat yang digunakan semasa zaman Perang Dunia Kedua," katanya.

Jelas kenyataan itu, bom berkenaan telah dibawa ke daratan dan seterusnya berjaya dimusnahkan pada petang dengan selamat.