Aroma asap baulu tradisi

Acuan tembaga yang siap diletakkan adunan baulu akan dimasukkan dalam takungan periuk dan dibakar dengan sabut kelapa di bahagian atas manakala kayu api di bahagian bawahnya.
Acuan tembaga yang siap diletakkan adunan baulu akan dimasukkan dalam takungan periuk dan dibakar dengan sabut kelapa di bahagian atas manakala kayu api di bahagian bawahnya.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Meskipun kudrat tidak lagi sekuat dahulu, Rokiah Kulop Malodin tetap gigih meneruskan pembuatan kuih baulu secara tradisional menggunakan kayu api, sabut kelapa dan pasir.

Pada usia 62 tahun, ibu kepada enam anak dari Kampung Guar, Manong itu masih bergelumang dengan bahang api dan asap demi memastikan resipi warisan yang diamanahkan arwah ibunya sejak 30 tahun lalu, terus terpelihara.

Rokiah percaya kaedah tradisional yang menjadi antara identiti masyarakat di Malaysia itu mampu memberi lebih keenakan kepada kuih tersebut.

“Membakar baulu secara tradisional ini memanglah memenatkan dan sedikit rumit, tetapi itulah keunikannya.

“Dengan kaedah ini kita dapat kekalkan teksturnya yang sedikit kenyal dan rangup, malah mempunyai bau asap yang membangkit rasa berbanding jika dibakar dalam ketuhar,” katanya.

Rokiah menunjukkan tempahan baulu daripada pelanggannya.
Rokiah menunjukkan tempahan baulu daripada pelanggannya.

Menurut Rokiah, proses pembuatan baulu menggunakan dapur kayu menuntut kesabaran yang tinggi kerana adunan bahan utamanya iaitu telur, gula dan tepung perlu dipukul dalam tempoh lama sebelum dibakar.

Tugasan itu dilakukan secara manual dengan menggunakan tangan. Ia memakan masa hingga dua jam bagi memastikan adunan benar-benar sempurna.

Bagi proses pembakaran pula, dia menggunakan acuan tembaga, periuk dan kepingan tin yang berfungsi seakan ketuhar./p> Acuan tembaga yang siap diletakkan adunan baulu akan dimasukkan ke dalam takungan periuk itu dan dibakar dengan sabut kelapa di bahagian atas manakala kayu api di bahagian bawahnya.

“Proses membakar hanya mengambil masa antara empat ke lima minit sahaja dan biasanya saya hanya menggunakan kayu pokok rambutan, langsat atau kayu hutan jenis keras supaya bara api lebih sekata dan tahan lama.

“Rumitnya proses ini kerana kita kena pastikan api di bahagian atas dan bawah sekata, tidak boleh terlalu besar atau kecil.

“Jika tidak baulu hanya masak di bahagian luar atau jadi sedikit kehitaman dan hangus,” katanya.

Acuan tembaga yang digunakan dalam pembuatan baulu tradisional.
Acuan tembaga yang digunakan dalam pembuatan baulu tradisional.

Sejak mengusahakan baulu secara komersial di bawah jenama Warisan Cik Kiah pada tahhun 2016, Rokiah tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggannya.

Dibantu dua anak perempuan, Mazmona Laza Nazeri, 31, dan Zulaiha Laza, 23, mereka mampu menyediakan 600 biji baulu setiap hari, namun masih belum dapat memenuhi permintaan.

“Tempahan diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Banyak kali juga saya terpaksa tolak tempahan terutama musim perayaan kerana bimbang tidak sempat untuk menyiapkannya,” kata wanita itu.

Rokiah tekad untuk meneruskan pembuatan kuih secara tradisional selagi dikurniakan kesihatan dan keupayaan diri yang baik.

Dia juga membuat putu kacang yang dihasilkan secara tradisional dengan menggunakan lesung dan kuih karas.