'Aidilfitri di kaki lima'

Di lorong yang tidak mempunyai nama, Along (kanan) yang juga mengidap hepatitis C tetap berpuasa secara sederhana di kaki lima dan berbuka bersama rakan.
Di lorong yang tidak mempunyai nama, Along (kanan) yang juga mengidap hepatitis C tetap berpuasa secara sederhana di kaki lima dan berbuka bersama rakan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika ramai yang gembira membuat persiapan Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman, keadaan berbeza dengan golongan gelandangan di ibu kota.

Kebanyakan mereka tidak mempunyai keluarga, ada yang dibuang anak juga dibuang adik-beradik tetapi tetap gembira tinggal di kaki lima menyambut Aidilfitri.

Seorang wanita berusia 38 tahun, ingin dikenali sebagai Along berkata, sudah 10 tahun dia hidup sebagai seorang gelandangan dan sejak itu suasana Aidilfitri suram.

Menurutnya, dia hanya bertemankan gemerlapan lampu jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini dan bunyi enjin kenderaan yang membingitkan.

"Kebanyakan warga kota sibuk keluar membeli belah sehingga malam Aidilfitri dan keadaan jalan menjadi lengang selepas itu kerana ramai yang akan balik kampung.

"Saya tak balik kampung sebab tiada adik beradik dan tak pernah sambut Aidilfitri sejak 10 tahun, tapi makan okey, ramai beri makanan," katanya kepada Sinar Harian.

Di lorong yang tidak mempunyai nama itu, Along yang juga mengidap hepatitis C tetap berpuasa secara sederhana di kaki lima dan berbuka bersama rakan.

"Itu sudah baik dan kami bersyukur kerana masih ada lagi insan yang menghargai golongan seperti kami yang terpinggir dan kotor begini," katanya yang berasal dari ibu kota.

Sementara itu, rakannya, Sukimin Sarijo, 64, mengakui tidak janggal berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri di laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Sukimin (kanan) mengakui tidak janggal berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri di laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Sukimin (kanan) mengakui tidak janggal berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri di laluan pejalan kaki di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Sudah lima tahun saya berkeadaan sebegini dan tempat ini sudah dianggap seperti rumah saya untuk berteduh dari hujan dan panas," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi gelandangan, hanya mahu dikenali sebagai, Ahmad, 50-an, berkata, dia sudah berpisah dengan isteri dan telah dibuang ahli keluarga yang lain kerana pernah menagih dadah.

"Sebenarnya, kami pun teringin hendak beraya, tetapi tiada keluarga lagi dan kalau ada mereka tidak mahu terima golongan terbuang seperti kami," katanya.

Sudah lebih lima tahun menjadi gelandangan di kawasan sekitar Chow Kit dan bawah jambatan di sekitar ibu negara, Ahmad juga memaklumkan dia tidak mungkin dapat kembali kepada kehidupan normal.