Warga kota meriah sambut Aidilfitri

Suasana dalam Suria KLCC pada Aidilfitri pertama.
Suasana dalam Suria KLCC pada Aidilfitri pertama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suasana Aidilfitri di ibu kota tetap meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk para pelancong yang turut meluangkan masa membeli-belah.

Tinjauan Sinar Harian di Suria KLCC mendapati, rata-rata masyarakat datang ke kawasan tumpuan itu untuk bersiar-siar bersama keluarga dan rakan-rakan serta merakam kenangan berlatarkan menara berkembar Petronas.

Bagi pelajar, Adam Faries Hairol Rahman, 18, berkata, dia dan keluarga datang ke kawasan tumpuan itu untuk menikmati makanan dan meluangkan masa bersama.

“Saya memang beraya di Kuala Lumpur tetapi datang ke sini untuk bersiar-siar bersama adik dan ibu,” ujarnya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Juruteknik, Ahmet, 36, walaupun ia tahun kedua beraya di ibu kota bersama isteri, namun kemeriahannya tetap mengujakan.

“Kami datang ke sini untuk melihat suasana sambil berjalan-jalan menikmati makanan dan seronok melihat suasana serta kemeriahan pengunjung yang datang,” ulas anak kelahiran Kuching Sarawak itu.

Pelajar, Irdina Osman, 20, selain makan bersama keluarga, dia turut menikmati kemudahan perkhidmatan awam MRT Laluan Putrajaya yang baharu sahaja dibuka kepada orang ramai.

Sementara itu, Nur Syazana Osman, 21, berpendapat, walaupun kemeriahan beraya bersama keluarga di bandar mengujakan, namun dia lebih seronok menyambut lebaran di kampung.

“Beraya di bandar mungkin sudah menjadi perkara biasa buat saya dan ia kurang seronok sebab kemeriahannya tidak sama jika beraya di kampung,” katanya.