Pembaharuan perlembagaan jadi faktor majukan Uzbekistan

Sebelum ini, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov (kanan) pernah berbincang mengenai Uzbekistan bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika mengadakan lawatan di Kumpulan Karangkraf.
Sebelum ini, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov (kanan) pernah berbincang mengenai Uzbekistan bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika mengadakan lawatan di Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Uzbekistan akan terus bergerak mengikut laluan reformasi berskala besar bagi memajukan lagi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi Referendum Perlembagaan yang bakal diadakan pada 30 April ini.

Pemangku Ketua Jabatan Pusat Kajian Perhubungan Antarabangsa (CIRS) di bawah Kementerian Luar Negeri Uzbekistan, Irgashev Shukhrat Bakhodirovich berkata, Referendum Perlembagaan tersebut bakal menjadi salah satu peristiwa penting dalam sejarah negara itu.

Menurutnya, bilangan artikel dalam perlembagaan baharu akan ditambah daripada 128 kepada 155, manakala bilangan norma daripada 275 kepada 434, dengan kandungan masing-masing akan berubah sebanyak 65 peratus.

“Oleh itu, bilangan dan kandungan perubahan serta penambahan ini menunjukkan keperluan untuk menerima pakai versi baharu perlembagaan.

“Keperluan pembaharuan perlembagaan telah ditunjukkan oleh Presiden Mirziyoyev dalam ucapan perasmiannya pada November 2021, dengan menyatakan bahawa cadangan sedemikian datang daripada rakyat negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Uzbekistan bakal mencatat sejarah dalam pentadbiran negaranya sekiranya perubahan perlembagaan yang diusulkan berjaya mendapat sokongan majoriti rakyat melalui referendum kebangsaan berkenaan.

Perlembagaan yang diperbaharui tersebut adalah bagi mengukuhkan lagi Parlimen Uzbekistan (Oliy Majlis) selain mengambil kira kepentingan semua penduduknya.

Pembaharuan tersebut turut akan mengekalkan kuasa pemerintahan Presidennya, Shavkat Mirziyoyev selama lebih sedekad akan datang.

Mengulas lanjut, Irgashev Shukhrat berkata, pertemuan melibatkan anggota Suruhanjaya Perlembagaan dan Presiden pada 20 Jun 2022 mencadangkan agar pindaan perlembagaan melalui referendum tersebut diterima pakai.

Jelasnya, dalam penyediaan dokumen itu, lebih 220,000 cadangan yang diterima adalah daripada rakyat Uzbekistan dan setiap cadangan keempat telah diambil kira dalam draf perlembagaan baharu.

“Pindaan perlembagaan sedang dibuat dalam konteks kemajuan reformasi besar-besaran di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Irgashev Shukhrat memberitahu, Presiden Uzbekistan pada Februari 2017 telah meluluskan strategi tindakan ke atas lima bidang keutamaan pembangunan negara pada 2017 hingga 2021, yang berjaya dilaksanakan dalam lima peringkat, masing-masing menyediakan kelulusan program negeri tahunan berasingan untuk pelaksanaannya.

“Melalui rangka kerja tersebut, lebih 4,000 keputusan Presiden Republik Uzbekistan telah diterima pakai yang bertujuan untuk mereformasi semua bidang kehidupan negara dan masyarakat,” jelas beliau.