'Aksi berdepan PDRM FC paling membosankan' - Solari

Forestieri meledak jaringan tunggal perlawanan. - Foto FB Johor Southern Tigers
Forestieri meledak jaringan tunggal perlawanan. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan aksi berdepan PDRM FC sebagai aksi paling membosankan yang pernah dilaluinya setakat ini.

Katanya, corak taktikal daripada skuad The Cops itu yang dilihat lebih banyak bertahan selain melengah-lengahkan permainan ternyata cukup membosankan kerana tidak memberikan cabaran kepada skuad Harimau Selatan itu.

“Pada saya ia merupakan perlawanan yang membosankan setakat ini dihadapi JDT. Mencabar? Bagi saya, sesuatu perlawanan itu mencabar apabila pasukan lawan memberikan cabaran kepada pasukan saya.

“Namun, ia tidak berlaku (dalam perlawanan ini) apabila PDRM FC dilihat lebih banyak bertahan dan melengah-lengahkan permainan.

“Apa pun, saya tidak menyalahkan mereka kerana saya pasti ia merupakan antara strategi PDRM FC bagi berdepan JDT pada perlawanan ini,” katanya sejurus tamat perlawanan, pada malam Rabu.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang import JDT, Fernando Forestieri muncul wira skuad Harimau Selatan itu apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-61 dan sekali gus melebarkan rekod kemenangan skuad Harimau Selatan kepada sembilan perlawanan berturut-turut, setakat ini.

Kemenangan turut menyaksikan juara quadruple (empat piala semusim), musim lalu itu terus gah mendominasi puncak liga dengan 27 mata setakat ini selain terus mengekalkan rekod tanpa kalah, kepada sembilan perlawanan.

Sementara itu, Solari memuji karakter pemain Harimau Selatan biarpun sekadar melakar kemenangan 1-0 ketika berdepan berdepan PDRM FC.

Malah jelas Solari, dia amat berpuas hati dengan komitmen diberikan kesebelasan skuad Harimau Selatan ketika berdepan ‘corak taktikal’ The Cops, pada perlawanan berkenaan.

“Sebelum perlawanan, kita pun tahu PDRM FC akan mengamalkan corak permainan bertahan seperti sebelum ini, tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan sikap yang dipamerkan pemain-pemain JDT di sepanjang perlawanan.

“Saya juga diberitahu, berdasarkan statistik perlawanan, JDT menguasai 80 peratus permainan selain berjaya melakukan 13 percubaan berbanding PDRM... jadi ini menggambarkan bahawa kami mengawal sepenuhnya perlawanan.

“Pemain-pemain juga telah berusaha sebaik mungkin bagi menambah jaringan, namun sebaliknya lain pula gaya permainan (bertahan), yang dipamerkan PDRM,” katanya.