Kepulangan dinanti, bukan ditangisi

Perjalanan pulang melalui lebuh raya dan jalan persekutuan ke Utara, Selatan dan Pantai Timur akan melalui kesesakan yang sangat luar biasa. - Gambar hiasan
Perjalanan pulang melalui lebuh raya dan jalan persekutuan ke Utara, Selatan dan Pantai Timur akan melalui kesesakan yang sangat luar biasa. - Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA ini golongan perantau terutama di Lembah Klang sudah mula meninggalkan Lembah Klang menuju ke kampung. Mahu atau tidak, perjalanan pulang melalui lebuh raya dan jalan persekutuan ke Utara, Selatan dan Pantai Timur akan melalui kesesakan yang sangat luar biasa.

Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataannya baru-baru ini menganggarkan, kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya itu setiap hari pada hari-hari puncak (19 hingga 21 April dan 29 hingga 1 Mei) iaitu peningkatan 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pula berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan memasuki Johor melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura menjelang Aidilfitri.

Bagi arah perjalanan ke Pantai Timur, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, Anih Berhad dalam kenyataannya, menganggarkan sebanyak tiga juta kenderaan akan melalui kedua-dua lebuh raya itu.

Justeru orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan sebaik mungkin selain perlu berhati-hati agar tidak berlaku tragedi tidak diingini. Contohnya tempoh yang lama memandu dari Shah Alam ke Alor Setar dan juga tempoh yang lebih kurang sama ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur memang memenatkan sekali gus menguji tahap fizikal dan mental pemandu.

Sebelum memulakan perjalanan jauh ini, pastikan tidur yang mencukupi bagi mengelak rasa mengantuk masa memandu, membaca doa menaiki kenderaan dan sebolehnya serikanlah perjalanan dengan zikir, alunan selawat dan bacaan ayat al-Quran.

Selain itu, bergilir memandu, berbual dengan pasangan atau rakan dapat mengelakkan daripada mengantuk dan juga berhenti di Rawat dan Rehat (R&R) untuk menyegarkan badan setelah beberapa jam memandu.

Semasa di jalan raya sentiasalah patuh kepada peraturan jalan raya. Tujuh kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

Ingat ya, semua kesalahan ini tidak boleh dikompaun, jadi fikirkanlah baik buruknya jika melanggar peraturan ini.

Tahun lalu, Op Selamat 18 sempena Aidilfitri dilancarkan selama 10 hari bermula 29 April hingga 8 Mei. Dalam tempoh itu, sebanyak 135 kemalangan maut membabitkan 141 kematian direkodkan di seluruh negara. Bagi tempoh sama juga sebanyak 12,95 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara.

Bagi memastikan aliran trafik lancar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Op Lancar memberi fokus memastikan kelancaran perjalanan di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran trafik di lebuh raya, jalan negeri serta perbandaran.

Tidak terkecuali, Kementerian Pengangkutan juga telah mengeluarkan arahan larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya dan lebuh raya selama empat hari bermula 20 hingga 21 April serta 24 hingga 25 April dengan pemantauan dilakukan anggota penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi mengesan lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan informasi tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan.

Dengan langkah-langkah dan pemantauan daripada pihak berkuasa ini, semoga jumlah kemalangan mampu diminimumkan pada tahun ini. Kepada pengguna jalan raya sentiasa bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, berhemah dan fokus dalam pemanduan.

Kepada pemandu-pemandu berlagak seperti ‘king’, gemar memandu secara melulu, ‘mencucuk’ kereta di hadapan, anda sebenarnya seorang penyangak yang patut dihumban ke dalam penjara, denda, tarik balik lesen dan disenaraikan hitamkan. Tindakan berbahaya ini boleh mengundang kemalangan kepada pihak lain.

Kepulangan ke kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara biarlah dalam suasana kemeriahan dan kegembiraan bukannya untuk ditangisi.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah penyunting Sinar Harian