Sibuk beli-belah sampai anak hilang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEHILANGAN anak ketika berada di pusat beli-belah bukanlah perkara yang baharu dan ia sering terjadi terutama setiap kali menjelang musim perayaan.

Sabtu lalu, Merak Jalanan bawa keluarga ke sebuah pusat beli-belah untuk membeli barang keperluan dan pakaian sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Sejam pertama di situ, Merak Jalanan dengar tiga pengumuman kanak-kanak yang hilang dan meminta ibu bapa yang kehilangan anak seperti digambarkan menuntut mereka di tempat dinyatakan.

Ya, menjaga anak-anak kecil pada usia tiga hingga empat tahun bukanlah perkara mudah. Saling berkejaran dan main sorok-sorok di sebalik pakaian digantung sesuatu yang menyeronokkan bagi mereka.

Pantang leka, sekelip mata mereka akan hilang daripada pandangan.

Pesanan Merak Jalanan, jangan terlalu ghairah membeli-belah hingga keselamatan si kecil terabai menyebabkan mereka hilang.

Ia bukan sahaja boleh menyebabkan anak-anak menangis teruk tetapi juga boleh mendatangkan trauma kepada mereka.

Antara langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengelak kejadian anak hilang di pusat beli-belah ialah tidak sesekali membiarkan si kecil hilang daripada pandangan.

Ibu bapa mungkin boleh bergilir membeli-belah. Semasa si ibu sibuk memilih pakaian, mata si ayah perlu sentiasa terpaku pada pergerakan anak-anak setiap masa, bukan leka main game.

Selain itu, ibu bapa perlu sentiasa mengingati pakaian dipakai anak ketika hari kejadian untuk memberikan gambaran tepat bagi memudahkan gerakan mencari dijalankan sekiranya mereka hilang.

Kalau boleh, pakaikan anak dengan tanda nama yang tertulis nama dan nombor telefon untuk dihubungi seandainya anak hilang dan dijumpai oleh orang lain.

Boleh juga pakaikan si manja dengan gelang atau alat penggera yang akan berbunyi jika si kecil berada di luar jarak yang telah ditetapkan.

Selamat membeli-belah dengan selamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!