Tiket mahal: Ka Siong dakwa tak pernah kelirukan, minta siasat

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan penjualan tiket penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menerusi aplikasi Super App pada harga lebih tinggi berbanding harga asal.

Beliau berkata, ramai pengguna menggunakan aplikasi pihak ketiga bagi membandingkan harga untuk mendapatkan tawaran terbaik.

“Contoh apabila saya ke luar negara, saya gunakan Agoda atau Booking.com untuk membuat tempahan hotel. Tidak perlu saya cari website hotel satu persatu. Itu fungsi Super App.

“Apabila saya melihat dalam Super App ada tawaran RM3,138 untuk (penerbangan) kelas ekonomi, saya rasa macam tidak kena. Apa dosa saya. Saya bawa perkara ini untuk perhatian dan diselesaikan oleh MOT (Kementerian Pengangkutan).

“Sekarang dikatakan Super App tidak mendapat tauliah daripada MAS, mereka tidak boleh menjual tiket yang sah. Ini lagi saya pelik. Kalau tidak boleh pakai (Super App), maklum kepada rakyat, kita indungi pengguna, minta tidak gunakan lagi Super App,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Ayer Hitem itu membidas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang mendakwa beliau tidak menyemak harga tiket penerbangan terlebih dahulu sebelum membuat hantaran di Facebook.

Beliau turut menunjukkan bukti harga tiket kelas ekonomi bagi penerbangan Kuala Lumpur-Tawau sempena Hari Raya Aidilfitri mencecah RM3,138.

Dalam pada itu Ka Siong turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang sedia ada.

“Jangan salahkan saya disebabkan Super App ini ada. Siasat ke lubang cacing, saya tidak pernah mengelirukan dengan mencampuradukkan tiket kelas perniagaan dan ekonomi. Itu tertera dalam Super App,” ujarnya.