Masters Malaysia tumpuan 10 terbaik dunia

Norza Zakaria (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di Petronas Akademi Badminton Malaysia, Bukit Jalil pada Isnin. - Foto: Bernama
Norza Zakaria (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di Petronas Akademi Badminton Malaysia, Bukit Jalil pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

PEMAIN badminton kelompok 10 terbaik dunia antara yang menyahut cabaran Kejohanan Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 23 hingga 28 Mei ini.

Itu jaminan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terhadap kejuaraan Super Jelajah Dunia 500 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang merupakan Jelajah Dunia pertama menawarkan mata ranking untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

“Masters Malaysia merupakan kejohanan yang sangat berharga untuk pemain mendapatkan mata ranking bagi kelayakan Olimpik, terutama dalam perseorangan lelaki, kebanyakan 10 pemain terbaik dunia akan bermain,” katanya pada sidang akhbar kejohanan di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sebagai rekod, Masters Malaysia dijadualkan berlangsung selepas Piala Sudirman di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei, menawarkan hadiah AS$420,000 (hampir RM1.86 juta) serta mata kelayakan Olimpik 'Race to Paris', dijangka disertai lebih 300 pemain badminton elit seluruh dunia.

Dalam masa sama Mohamad Norza mahu pemain-pemain negara memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan sokongan penyokong tempatan mempamerkan persembahan cemerlang bagi meraih mata kelayakan itu.

“Saya percaya setiap mereka tahu tanggungjawab masing-masing, terutama 10 pemain terbaik kita yang merupakan sebahagian daripada Program Road To Gold (RTG), pendekatan untuk membantu mereka pada peringkat tertinggi.

“Ini sepatutnya menjadi motivasi kepada mereka untuk berdaya saing sekiranya mereka mahu meneruskan sokongan ini, mahu kita meletakkan banyak lagi pelaburan kepada mereka, pemain seharusnya mempamerkan aksi yang setimpal dengan mengambil peluang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada peningkatan harga tiket dan peminat boleh membeli tiket secara dalam talian di www.ticket2u.com.my mulai 20 April.

Sebagai rekod, edisi Masters Malaysia lalu harga tiket dijual antara RM20 hingga RM460.

Edisi 2017 merupakan kali terakhir pemain tempatan menjuarai kejohanan itu menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengungguli beregu campuran,

Edisi 2016, pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan perseorangan lelaki kelimanya di Pulau Pinang.

INFO

23 hingga 28 Mei

Kejohanan Masters Malaysia 2023

(Axiata Arena, Bukit Jalil)

Pemenang Masters Malaysia 2022:

Perseorangan lelaki:

Chico Aura Dwi Wardoyo (Indonesia)

Perseorangan wanita:

An Se Young (Korea Selatan)

Beregu lelaki:

Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia)

Beregu wanita:

Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (China)

Beregu campuran:

Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China)