Solat hajat, doa selamat untuk Sudan malam ini

Mohd Na’im
Mohd Na’im
A
A
A

SHAH ALAM - Masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan solat hajat dan doa selamat pada Isnin bagi memohon agar ketegangan di negara Sudan dapat dihentikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara masjid yang terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurutnya, masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga telah diminta untuk melaksanakannya pada tarikh yang sama.

“Marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di negara Sudan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, sekurang-kurangnya 27 maut, manakala 183 lagi cedera selepas pertempuran meletus di antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum.

Pertempuran kedua-dua pihak itu dikatakan berpunca daripada lonjakan keganasan menjelang pilihan raya selepas rampasan kuasa tentera.

Berikutan krisis yang berlaku di negara tersebut, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat bersama baginda mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Sudan.

Al-Sultan Abdullah bertitah supaya semua masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan ALLAH agar rakyat Malaysia berada di bawah lindungan-NYA dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan segera.