Jangan salahkan JPJ jika kena saman

Erick (kiri) dan Norhabib (belakang) diberi penerangan oleh seorang anggota JPJ WPKL mengenai ujian brek statik yang dilakukan ke atas semua bas yang akan beroperasi pada musim perayaan ini.
Erick (kiri) dan Norhabib (belakang) diberi penerangan oleh seorang anggota JPJ WPKL mengenai ujian brek statik yang dilakukan ke atas semua bas yang akan beroperasi pada musim perayaan ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada maaf buat pemandu dan syarikat bas yang masih berdegil melanggar peraturan lalu lintas sepanjang musim perayaan.

Demikian tegas Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang yang tidak mahu berkompromi dengan pemandu dan pemilik bas yang ingkar setelah proses advokasi diberikan.

Beliau berkata, proses advokasi atau pemakluman awal telah diberikan kepada semua pemandu dan pemilik bas untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik serta selamat.

Kata beliau, pemakluman awal selama empat hari yang telah berakhir pada 17 April telah dinotiskan kepada dua entiti utama dalam urusan pengendalian bas di negara ini.

"Bermula 18 sehingga 27 April ini, operasi besar-besaran akan dilakukan oleh JPJ WPKL sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2023.

Erick (tengah) meluangkan masa beramah mesra dengan seorang pemandu bas yang menjalani ujian di depoh perhentian bas TBS pada Isnin.
Erick (tengah) meluangkan masa beramah mesra dengan seorang pemandu bas yang menjalani ujian di depoh perhentian bas TBS pada Isnin.

"Maka jangan salahkan JPJ sekiranya anda (pemandu dan pemilik bas) disaman dan kenderaan tidak dibenarkan beroperasi kerana kita telah melakukan proses advokasi sebelum ini.

"Sebab mereka sememangnya sudah sedia maklum dengan apa yang telah ditetapkan oleh JPJ, maka tiada tolak ansur lagi sekiranya tetap melakukan kesalahan sama," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dekat sini.

Hadir sama Ketua Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ WPKL, Ir Ts Norhabib Mohd Kamin yang mengetuai proses pemakluman awal di TBS.

Mengulas lanjut, Erick berkata, pemeriksaan kenderaan awam terutama bas adalah melibatkan tayar, sistem lampu, brek, pembalik cahaya serta dokumen pemandu.

Namun begitu katanya, antara kesalahan yang sering berlaku adalah membabitkan sistem lampu dan ketebalan tayar.

Sehubungan itu katanya, Ops Hari Raya Aidilfitri 2023 akan tertumpu di TBS melibatkan anggota khas yang bertugas 24 jam.

"Bagi memastikan semua pemandu bas mematuhi peraturan ditetapkan, JPJ WPKL akan bertindak menyamar sebagai penumpang di dalam bas.

"Kita akan memerhatikan gaya pemanduan, tidak memotong di garisan berkembar, tidak bermain telefon bimbit dan had kelajuan ditetapkan.

"Jika melakukan kesalahan, mereka akan terus disaman. Ini bagi memastikan keselamatan orang ramai pulang berhari raya sentiasa terjamin selamat," katanya.

Erick meluangkan masa beramah mesra dengan penumpang yang sudah mula pulang berhari raya di kampung halaman.
Erick meluangkan masa beramah mesra dengan penumpang yang sudah mula pulang berhari raya di kampung halaman.

Selain itu, menurutnya, rondaan di jalan-jalan utama juga akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

Tambahnya, pemeriksaan juga akan dipertingkatkan terhadap kenderaan e-hailing terutama membabitkan penggunaan tali pinggang keledar.

Bagi mencegah kecelakaan jalan raya diakibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, Erick berkata, JPJ akan mendapat kerjasama daripada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Jelasnya, semua pemandu akan menjalani ujian saringan air kencing sejam sebelum memandu.

"Kita sebenarnya mahu mengekalkan rekod bersih iaitu sifar kemalangan melibatkan bas pada musim perayaan seperti mana tahun lalu.

"Oleh sebab itu, kita bekerja keras untuk berusaha memastikan semua bas yang beroperasi pada musim perayaan ini berada pada tahap terbaik dan pemandu juga bersih daripada najis dadah," katanya.