Penduduk hilang sabar, penat hadapi masalah air

Sebahagian penduduk yang turun padang dalam himpunan aman di hadapan Kampung Kenangan pada Sabtu.
Sebahagian penduduk yang turun padang dalam himpunan aman di hadapan Kampung Kenangan pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Hanya tinggal seminggu menjelang Aidilfitri, hampir 400 penduduk di Kampung Kenangan dekat Lanchang di sini tertekan dengan masalah tekanan air rendah yang didakwa semakin kritikal sejak awal Ramadan tahun ini.

Malah ada penduduk mendakwa, anak-anak mereka keberatan pulang untuk beraya bersama keluarga mereka kerana masalah tersebut.

Masalah bekalan air telah membelenggu penduduk sejak puluhan tahun khususnya mereka yang tinggal di kawasan tinggi.

Seorang penduduk, Norliza Othman, 60, mendakwa, dia dan penduduk lain di kawasan tinggi sepertinya sudah tidak mampu menanggung sabar dengan masalah tersebut.

Norliza
Norliza

"Ramadan kali ini sangat menyukarkan kehidupan harian kami, kalau ada air pun paling maksimum 10 minit, tak sempat nak tampung banyak, kemudian tiada beberapa hari.

"Kami kecewa kerana masalah di kampung ini masih belum selesai. Harap pihak bertanggungjawab turun padang dan segera cari penyelesaian terbaik demi kemudahan penduduk," tegasnya.

Norliza antara sebahagian penduduk yang ditemui pada himpunan aman di hadapan kampung itu pada Sabtu.

Bagi seorang balu, Azlina Mohd Baki, 55, situasi itu amat menyukarkan penduduk khususnya bagi warga emas dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan.

Azlina
Azlina

"Kami terpaksa mengeluarkan kos membeli air mineral demi keperluan harian. Kalau ada air, kena berjimat cermat, sebab risau tak tahu bila ada bekalan semula.

"Memang ada bekalan air tangki dihantar tapi tak semua penduduk dan kawasan yang dapat dan tak semua ada tangki.

"Malah ada anak-anak saya macam tak teruja nak balik beraya bila dapat tahu situasi ini kerana telah menghadapi masalah air sejak kecil hingga kini," jelasnya yang memiliki tiga cahaya mata.

Seorang peniaga kuih, Maznah Shamsuddin, 58, memberitahu, masalah itu menyebabkan dia tidak dapat berniaga di bazar seperti biasa.

Maznah
Maznah

"Nak buat kuih macam mana, nak mandi buat benda lain pun payah. Memang langsung tak dapat berniaga tahun ini.

"Anak-anak pun ada bersuara tak semangat nak balik beraya kali ini bila tahu masalah ini," dakwa ibu kepada enam cahaya mata itu.

Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Jamil, 53, menyifatkan situasi itu tidak adil buat penduduk yang telah membayar bil air setiap bulanan.

Abdul Razak
Abdul Razak

"Bukan air yang keluar, tapi angin. Bil tetap kena bayar berpuluh juga sebulan. kami berhimpun hari ini kerana tidak tahan lagi menanggung sabar," dakwa pengawal keselamatan tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Hassan Omar menggesa pihak berkaitan segera mencari langkah penyelesaian drastik untuk sementara waktu menjelang Aidilfitri demi kemudahan penduduk.

Hassan (kiri) ketika bertemu dan mendengar luahan penduduk kampung tersebut.
Hassan (kiri) ketika bertemu dan mendengar luahan penduduk kampung tersebut.

"Dengan bulan puasa, tak lama lagi raya ditambah pula musim panas, masalah ini amat menjejaskan penduduk dalam kehidupan seharian mereka.

"Kita minta pihak berkaitan ambil serius dengan masalah ini kerana ia melibatkan kepentingan awam iaitu penduduk terlibat," tambah beliau.