Perkeso ketengah semangat kebangkitan dalam 'Bangkit Raya'

Proses pembikinan video iklan 'Bangkit Raya'.
Proses pembikinan video iklan 'Bangkit Raya'.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sempena Syawal ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat julung kalinya mempersembahkan sebuah video iklan raya bertajuk 'Bangkit Raya' seiring dengan tahun 2023 yang disifatkan sebagai tahun kebangkitan buat semua.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Roshaimi Mat Rosely berkata, mengangkat semangat ‘kebangkitan’ sebagai tema, video itu membawa pelbagai nasihat yang mampu membuka mata penonton mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial buat diri dan keluarga mereka.

Menurutnya, penekanan terhadap nilai tanggungjawab dan kekeluargaan disampaikan menerusi jalan cerita yang santai serta diselangi unsur komedi.

Antara pelakon yang membarisi video iklan 'Bangkit Raya'.
Antara pelakon yang membarisi video iklan 'Bangkit Raya'.

Kata beliau, melalui video iklan raya berkenaan, Perkeso ingin penonton terus bersemangat dan sentiasa berusaha untuk bangkit semula daripada segala kesukaran yang dihadapi.

"Bangkit Raya mengisahkan semangat kebangkitan seorang pemuda yang menganggur bernama Ayie. Dia asalnya bersikap berat tulang namun setelah kehilangan ayah tercinta, Ayie sedar akan tanggungjawab yang harus dipikulnya.

"Oleh itu, Ayie bangkit untuk meneruskan legasi perniagaan kuih bangkit keluarga yang selama ini telah menjadi punca pendapatan utama keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Poster video iklan 'Bangkit Raya' Perkeso.
Poster video iklan 'Bangkit Raya' Perkeso.

Roshaimi menegaskan, video iklan raya tersebut bukan sekadar ingin menonjolkan semangat kekeluargaan sempena hari raya yang bakal menjelang.

“Video Bangkit Raya mengangkat maksud bangkit, iaitu satu perkataan keramat yang boleh mengubah nasib seseorang sekiranya individu tersebut mampu mengubah cara berfikir, mengambil tindakan proaktif demi mencapai matlamat yang diingini berbekalkan sistem sokongan yang baik," ujarnya.

Roshaimi menambah, video iklan raya berkenaan juga selaras dengan tema Perkeso pada 2023 iaitu ‘Tahun Kebangkitan’.

Ramai pelakon kanak-kanak turut terlibat dalam pembikinan video iklan 'Bangkit Raya'.
Ramai pelakon kanak-kanak turut terlibat dalam pembikinan video iklan 'Bangkit Raya'.

"Tema ini melambangkan matlamat utama Perkeso yang sentiasa bersedia dalam memberi perlindungan dan bantuan kepada pencarum untuk bangkit semula daripada sebarang musibah yang dihadapi.

"Bersama-sama kita #bangkit dan kekal #Prihatin dengan Perkeso. Video Bangkit Raya dapat ditonton di saluran YouTube serta media sosial rasmi Perkeso," jelasnya.