Aidilfitri: Lebih tiga juta kenderaan dijangka guna KLK, LPT1

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad menjangkakan lebih tiga juta kenderaan menggunakan lebuh raya berkenaan sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah trafik ke pantai timur mengalami peningkatan bermula dari 19 hingga 21 April ini.

Menurutnya, kesesakan trafik menghala ke Kuala Lumpur pula dijangka bermula dari 24 April dan 30 April sehingga 1 Mei depan.

"Hari ini (Sabtu), kita menerbitkan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) bermula dari 19 April sehingga 1 Mei memandangkan cuti Aidilfitri kali ini bersambung dengan cuti persekolahan dan cuti umum Hari Buruh.

“Pengguna lebuh raya sudah pasti akan mengambil peluang cuti yang panjang ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga di kampung dan menziarahi sahabat handai.

"Pihak kami berharap pengguna lebuh raya merancang perjalanan di musim perayaan dan percutian ini, memandangkan jangkaan aliran trafik meningkat semasa musim perayaan kepada lebih tiga juta kenderaan di KLK dan LPT1," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, edaran TTA akan dijalankan di Plaza Tol Gombak, Karak dan Bentong pada 16 April ini selain membuat hantaran di laman sosial Anih Berhad sebagai rujukan pengguna lebuh raya.

Dalam pada itu, Radzimah memberitahu, pihaknya menambah sehingga 30 peratus bilangan kakitangan sokongannya di plaza tol sebagai usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini.

"Selain itu, kita menempatkan lebih 140 anggota Rela di beberapa kawasan strategik di sepanjang lebuh raya serta meningkatkan jumlah pekerja pasukan rondaan LPT dan trafik sebanyak 20 peratus dan memperbanyakkan rondaan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.

"Sebelum memulakan perjalanan, ingatan penting untuk para pengguna agar memastikan baki e-Wallet dan kad Touch N’Go mencukupi demi mengelakkan sebarang masalah berkaitan baki tidak mencukupi ketika di plaza tol," katanya.

Tambah beliau, pihak Anih Berhad juga bersiap sedia memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya jika berlaku kecemasan atau kejadian yang tidak diduga dengan bantuan dan kerjasama daripada pasukan Emergency Response Team (ERT) iaitu daripada pasukan St John Ambulans, bomba dan polis.

Dalam masa sama, Radzimah menasihatkan pemandu agar sentiasa memandu secara berhemah dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah sekiranya perlu.

Tambahnya, pengguna juga diminta mematuhi saranan papan tanda jalan dan had laju yang telah ditetapkan serta arahan petugas lebuh raya demi keselamatan semua.

"Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, pengguna disarankan untuk mengikuti saluran rasmi media sosial Anih Berhad di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur), Twitter, (@LPTTrafik) Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).

"Jika berlaku kecemasan, sila hubungi LPT - Line di 1-700-818-700 atau LLM di 1800-88- 7752," kata beliau.