Sukan SEA 2023: Skuad silat sasar dua pingat emas

Megat Zulkarnain - Foto fail Bernama
Megat Zulkarnain - Foto fail Bernama
A
A
A

PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) meletakkan sasaran dua pingat emas daripada pesilat negara yang akan bersaing pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, bulan depan.

Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya meletakkan sasaran rendah pada temasya sukan dwitahunan itu kerana 75 peratus daripada keseluruhan 22 pesilat negara yang dipertaruhkan kali ini adalah muka baharu.

Beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik berhubung acara yang mempunyai peluang cerah untuk menjelmakan pingat emas buat negara di Kemboja memandangkan kesemua pesilat tidak kira yang lama mahupun baharu berpotensi melakar pencapaian membanggakan buat Malaysia.

“Saya lebih bersikap terbuka semua atlet ada peluang untuk menyumbang kerana tak mahu atlet muda ini terbeban. Kalau dahulu ada Mohd Al-Jufferi Jamari, mesti dia sumbang emas.

“Bagaimanapun, saya tak mahu beri tekanan kepada atlet muda kerana mereka belum biasa tetapi saya percaya mereka mampu, apatah lagi pasukan kita sekarang ini dikendalikan bekas pesilat negara seperti Mohd Fauzi Khalid dan Siti Rahmah Mohamed Nasir,” katanya.

Megat Zulkarnain berkata, Pesaka mengambil langkah berhati-hati dalam menetapkan sasaran pingat selepas mengambil iktibar daripada pengalaman pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam yang menyaksikan mereka hanya membawa pulang dua emas berbanding tiga disasarkan.

“Di Vietnam, ada beberapa insiden tidak dijangka seperti Mohd Al-Jufferi kalah di peringkat separuh akhir kerana kecederaan dan kita hilang satu emas, jadi kita ambil kira pengalaman dan berhati-hati umumkan sasaran,” jelasnya.

Kem silat negara dijangka menyertai 17 daripada keseluruhan 22 acara pada Sukan SEA 2023 yang akan dibuka secara rasmi dari 5 hingga 17 Mei.