Rogol: Bapa tiri berdepan hukuman penjara maksimum 830 tahun

Tertuduh yang berusia 36 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Tertuduh yang berusia 36 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan menggunakan objek bagi tujuan seksual terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta lengkap hukuman.

Tertuduh yang berdepan hukuman sebatan serta penjara maksimum 830 tahun bagi kesemua pertuduhan tidak dibenarkan diikat jamin bagi tujuan melindungi mangsa dan memastikan kehadirannnya di mahkamah.

Dalam kedua-dua prosiding, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar kelas renang mengaku bersalah atas semua 32 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut mengaku salah melakukan 12 perbuatan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 lalu di sebuah rumah di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim dan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari.

Sepanjang prosiding, tertuduh yang berambut panjang hanya tunduk dan mengaku bersalah bagi semua pertuduhan serta tidak mengemukakan sebarang rayuan hukuman ringan.

Dalam pada itu Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sinar Harian pada 9 April lalu menyiarkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

Pasangan itu ditahan polis setiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira jam 9.30 malam Sabtu lalu.

Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu.

Ibu mangsa yang merupakan isteri suspek turut ditahan kerana dipercayai mengetahui perbuatan suaminya.