Jacky Kok azam pamer aksi terbaik di Kemboja

Jacky Kok
Jacky Kok
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Jacky Kok Jing Hong berazam untuk memperagakan aksi cemerlang untuk membalas kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memilihnya untuk menggalas cabaran negara di Sukan SEA Kemboja pada Mei ini.

Pemain berusia 21 tahun yang akan membuat penampilan kedua di temasya itu berkata, beliau akan memastikan tahap kesihatan mental dan fizikalnya berada dalam keadaan terbaik supaya tidak mensia-siakan peluang untuk menghasilkan magis di sana.

"Saya memang tidak sangka akan terpilih sebab tahu permainan saya tahun lepas memang tidak berada dalam keadaan yang terbaik sebab ada kecederaan lower back.

"Namun sekarang kesihatan saya lebih baik dan sekarang menjadi tanggungjawab saya untuk mencari sendiri kelemahan tanpa hanya mengharapkan jurulatih untuk membaiki permainan dalam gelanggang,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Wong Choong Hann dalam satu hantaran di Facebook BAM pada Khamis memaklumkan, Jacky Kok akan mengisi tempat Justin Hoh yang mengalami kecederaan achilles tendon kiri yang dialami pemain berusia 19 tahun itu ketika menjalani latihan pada Isnin.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan negara, Lee Shun Yang menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir sekiranya diberi peluang untuk bermain dalam acara individu.

Bagaimanapun, pemain di kedudukan ke-95 dunia itu berkata beliau menjangkakan saingan sengit daripada pemain Thailand, Singapura dan Indonesia yang berada di ranking dunia lebih baik.

"Saya tidak pasti lagi akan bermain dalam kategori individu namun saya tetap akan berlatih bersungguh-sungguh sebab ada sasaran untuk diri sendiri sampai suku akhir (sekiranya terpilih),” katanya yang tersenarai sebagai pemain simpanan skuad badminton Sukan SEA Kemboja.

Pada edisi tahun lalu di Hanoi, Vietnam, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Badminton menawarkan tujuh pingat emas di Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, beregu campuran serta berpasukan lelaki dan wanita. - Bernama