Polis iring mat rempit tolak motosikal ke balai

Sebahagian motosikal yang dikumpulkan di Balai Trafik Batu Pahat awal pagi, Jumaat. - Foto IPD Batu Pahat
Sebahagian motosikal yang dikumpulkan di Balai Trafik Batu Pahat awal pagi, Jumaat. - Foto IPD Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT – Seramai 71 penunggang motosikal berusia 16 hingga 27 tahun diiringi polis sejauh lebih tiga kilometer (km) ke Balai Trafik Batu Pahat setelah ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Kluang–Ayer Hitam di sini pada awal pagi Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, kesemua ‘mat motor’ berkenaan ditahan berikutan aduan orang awam yang mendakwa ramai remaja sering berkumpul dan membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam.

“Seramai 15 pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Batu Pahat mengadakan Ops Samseng Jalanan di sekitar Jalan Parit Haji Sidek mulai jam 11 malam Khamis hingga 1.30 pagi Jumaat.

“Operasi dibuat berikutan aduan orang awam berhubung remaja yang sering membuat bising khususnya pada hujung minggu.

“Hasil operasi tersebut, seramai 71 penunggang motosikal ditahan dan diiringi sejauh lebih tiga km ke Balai Trafik bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan saman,” katanya pada Jumaat.

Tambah Ismail, sebanyak 155 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan sebanyak 25 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu serta mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Sementara itu, Ismail berkata, pihak BSPTD Batu Pahat akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di sekitar daerah berkenaan dari semasa ke semasa dalam usaha mengekang aktiviti tidak sihat.

“Pihak polis juga menasihati ibu bapa supaya pantau kenderaan terutama struktur motosikal anak-anak dan elakkan mereka keluar tanpa tujuan mejelang musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.