Juventus bawa bekalan satu gol ke Lisbon

Gatti
Gatti
A
A
A

GERGASI Serie A Itali, Juventus menampilkan persembahan positif untuk mara kelompok empat terbaik Liga Europa selepas menang tipis 1-0 ke atas kelab Portugal, Sporting Lisbon dalam perlawanan pertama suku akhir di Stadium Allianz, Turin pada Jumaat.

Jaringan Federico Gatti pada minit ke-73 memastikan tuan rumah membawa bekalan satu gol menjelang perlawanan timbal balik kedua di Lisbon minggu depan.

Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri sebelum perlawanan melakukan perubahan taktikal terhadap skuad yang tewas 1-2 kepada Lazio dalam Serie A minggu lalu kepada yang lebih menyerang dengan menggunakan tiga penyerang.

Begitupun kegagalan menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan terus menghantui kelab Turin sepanjang 90 minit perlawanan.

Peluang pertama terbaik dimiliki The Old Lady hadir apabila Federico Chiesa berpeluang melakukan rembatan dari dalam kotak sebelum dinafikan penjaga gol Sporting, Antonio Adan.

Sporting mendominasi sebahagian besar perlawanan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Rembatan kapten Sporting, Sebastian Coates berjaya diselamatkan penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny sebelum Gleison Bremer mengeluarkan percubaan Nuno Santos dari garisan beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun kemenangan itu dibelenggu kecederaan yang digantikan Szczesny sebelum rehat dengan Mattia Perin.

Sementara itu kelab berkata, penjaga gol Poland itu tidak mengalami sebarang masalah serius, dengan pemain tersebut sendiri memaklumkan status terkini kesihatannya.

"Saya baik-baik saja, cuma agak cemas, tetapi telah melakukan semua ujian dan semuanya baik-baik saja.

“Saya takut, ia tidak pernah berlaku kepada sebelum ini, saya sukar bernafas dan ia sangat membimbangkan saya,” kata Szczesny.

Dalam pada itu, pemain tengah Juventus, Paul Pogba turut membuat penampilan pertamanya di luar Serie A musim ini apabila dimahukan pada lewat separuh masa kedua menggantikan Angel Di Maria.

Bagaimanapun tumpuan terarah kepada Perin yang menjadi wira selepas penyelamatan berganda hebat pada masa kecederaan.

Keputusan itu meneruskan rentak tanpa kemenangan Sporting di Itali dalam empat daripada 16 perlawanan di negara ini apabila menghasilkan keputusan seri, manakala 12 berakhir dengan kekalahan.

Perlawanan kedua pada Jumaat depan di Estadio Jose Alvalade, Lisbon menyaksikan pemenang akan menentang sama ada Sevilla atau Manchester United pada separuh akhir.