Berita gembira buat pengguna pelan prabayar - Fahmi

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan mengumumkan berita gembira kepada pengguna pelan prabayar (prepaid) menjelang Isnin ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang berbincang mengenai perkara itu dengan beberapa syarikat telekomunikasi utama di negara ini untuk dipersetujui.

"Pada waktu ini saya belum bersedia untuk membuat sebarang pengumuman tetapi harapan saya dalam masa yang singkat ada beberapa perkara dapat kita persetujui insya-Allah saya harap ada berita baik terutama bagi pengguna prabayar, kita akan tahu dua tiga hari, menjelang Isnin ini,” katanya kepada media selepas program Kasih@HAWANA 2023 di sini pada Jumaat.

Mengenai dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu hadapan.

Fahmi berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lepas terdapat beberapa perkara yang diminta perdana menteri untuk diteliti.

Ditanya berkenaan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan pejabat Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berhubung urusan pengambilan pekerja asing, Fahmi berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa itu menjalankan tugas sebaiknya.

"Sekiranya ada apa-apa kes yang dibawa ke mahkamah kita akan ikuti (perkembangan) dan sebelum itu kita tak boleh prasangka kerana kita tak ada maklumat yang tepat dan penuh.

"Dan semua menteri telah diminta untuk memberi peringatan (kepada pegawai) dan saya sendiri dalam pasca-Kabinet ada beri peringatan kepada semua supaya berhati-hati kerana jangkaan adalah tinggi bahawa kerajaan ini komited untuk membersihkan Malaysia daripada gejala rasuah," katanya.

Sivakumar dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan beliau dan kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.

Mengenai permohonan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Fahmi berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya. - Bernama