Bedah siasat temui kesan cedera akibat terjatuh

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Kematian anggota tentera yang hilang selama enam hari di Hutan Simpan Belum, Gerik pada Rabu disahkan berpunca dari kecederaan di kepala akibat terjatuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan itu dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selepas proses bedah siasat selesai.

"Hasil bedah siasat telah mengesahkan mayat tersebut Koperal Mohamad Nasri Mohd Nasib dan punca kematian adalah disebabkan head injury consistent fall," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, jenazah mangsa telah diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk urusan pengebumian.

"Polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa," katanya.

Mayat anggota tentera dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang berusia 33 tahun itu berjaya ditemui oleh pasukan ATM sekitar jam 10.15 pagi pada Rabu.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum.

Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan sekitar jam 5 petang, 7 April lalu lalu.