Anggota tentera hilang ditemui meninggal dunia

Laporan Sinar Harian pada Isnin
Laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat anggota tentera berpangkat koperal yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum dekat Gerik, Jumaat lalu, ditamatkan susulan penemuan mayat anggota itu pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat anggota berusia 33 tahun itu berjaya ditemui oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar jam 10.15 pagi pada Rabu.

"Sudah jumpa, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi di sini.

Media melaporkan, seorang anggota tentera dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum.

Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan sekitar jam 5 petang, Jumaat lalu.