JDT serius berdepan PDRM FC

Solari - foto fb Johor Southern Tigers
Solari - foto fb Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT), mengambil serius aksi kalah mati berdepan PDRM FC bagi saingan Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Jumaat.

Menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari, PDRM FC merupakan salah satu pencabar yang kuat dalam saingan Liga Super termasuk bagi saingan Piala FA, musim ini.

“Kami tahu, PDRM FC merupakan pasukan yang kuat..mereka pernah mengejutkan pasukan handalan seperti Kedah (KDA FC)...saya tahu jika sesebuah pasukan itu tidak kuat, mereka tidak mampu untuk menewaskan Kedah.

“Kami juga tahu mereka ada corak taktikal yang baik untuk berdepan JDT kerana ketika ini semua pasukan mahu menewaskan JDT.

“Oleh itu bagi kami, aksi berdepan PDRM FC bagi saingan kalah mati Piala FA merupakan satu lagi cabaran kepada kesemua pemain dan diharap mereka mampu berikan aksi terbaik bagi menjamin kemenangan,” katanya.

Untuk rekod, JDT merupakan juara bertahan Piala FA setelah menewaskan Terengganu FC 3-1 pada aksi final musim lalu.

Sementara itu Solari berkata, persiapan skuad Harimau Selatan itu berjalan lancar seperti biasa menjelang aksi berkenaan.

Malah katanya, kesemua pemain juga dilihat bersemangat untuk beraksi dan ini bakal memberikannya lebih banyak pilihan bagi menurukan kesebelasan terbaik.

“Semua pemain dilihat bersedia untuk perlaanan ini. Mereka (pemain), juga tahu bahawa perlawanan ini penting buat kami.

“Lagi pun, kami sentiasa mencabar diri sendiri bagi mendapatkan keputusan yang terbaik,” katanya.