Pemilihan surah Al-Insan tepat, bina akhlak manusia - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan pemilihan Surah Al-Insan bagi program World #QuranHour bertepatan dengan situasi yang melanda dunia terutama di bulan Ramadan.

Justeru beliau menegaskan, surah tersebut perlu dihayati bagi memberi iktibar kepada masyarakat yang terjebak dengan masalah sosial di samping mengangkat martabat al-Quran agar dijadikan amalan bukan sekadar baca dan faham malah turut diamalkan.

“Sangat tepat (pemilihan Al-Insan) ekoran kita dapat lihat banyak insiden-insiden negatif (berlaku) dalam masyarakat kita. Contohnya isu perpaduan, penghinaan agama, tiada toleransi (antara kaum), kurang adab dan akhlak dan sebagainya.

“Pemilihan surah Al-Insan mengangkat martabat dan mengajak kita memahami maksud dalam surah, seterusnya mengamalkannya. Ini sangat penting kerana dengan insiden yang berlaku dan (apabila) kita bertadabur surah ini, diharap penghayatan dan amalannya akan menjadikan kita manusia sebenar.

“Surah ini juga memperlihatkan bagaimana ALLAH SWT mengangkat karamah manusia berdasarkan akhlak, dan saya mengharapkan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini diangkat sifat insaniah mereka seterusnya memahami tanggungjawab sebagai manusia dan melaksanakannya,” katanya dalam sidang akhbar sempena World #QuranHour 2023.

Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata, setiap ujian yang menimpa seseorang manusia itu akan memberi dua pengajaran sama ada nikmat syukur atau kufur.

“Dengan peringatan World #QuranHour yang mengangkat Surah Al-Insan, kita mengharapkan masyarakat di negara ini akan menjadi insan terdidik dengan akhlak al-Quran, sepertimana Rasullullah SAW.

“Manusia tidak akan menjadi manusia yang ALLAH berikan akal sekiranya tidak ada akhlak dan tidak sempurna keimanan mereka kalau tiada akhlak.

“Semoga dengan peringatan melalui pembacaan surah Al-Insan nanti akan memberi kesedaran kepada kita semua untuk menjadi manusia yang sebenar seterusnya menjadi rakyat terbaik untuk membina satu tamadun yang akan dihormati,” ujar beliau.

World #QuranHour sulam kekuatan al-Quran

Sementara itu, Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, penganjuran World #QuranHour dilihat dapat menyulam kekuatan dan falsafah kalam ALLAH dalam kehidupan harian sebagai manusia, pemimpin dan masyarakat.

Menurutnya, setiap surah dan ayat di dalam al-Quran ada perkaitan dengan kehidupan umat manusia sama ada di syurga mahupun neraka.

Katanya, al-Quran bukan sahaja bercerita mengenai orang Melayu atau Islam tetapi juga sebagai seorang manusia dan insan.

“Jadi, kita yang sentiasa hidup dalam masyarakat dan organisasi ini sangat bagus sekiranya dapat mempraktikkan ayat-ayat suci al-Quran dalam segenap aspek kehidupan.

“Oleh itu, kaedah baca, faham dan amal yang diketengahkan menerusi program ini perlu diberi penekanan untuk kita kenal bukan sahaja orang lain malah perkara lebih penting adalah diri sendiri serta tuhan,” katanya.

Menurut Ashwad, sudah tiba masanya World #QuranHour ini diperluaskan di peringkat media antarabangsa.

“Ini kerana, al-Quran tidak bercakap tentang agama dan perkara mungkar semata-mata tetapi lebih besar daripada itu. Orang bukan Islam boleh melihat dari sudut kehidupan iaitu bagaimana mahu jadi insan cemerlang dan berjaya.

“Selain itu, saya berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk menyertai World #QuranHour yang berlangsung pada Khamis (hari ini) bersamaan 22 Ramadan,” jelas beliau.