Dunia perlu bertindak halang kekejaman Israel

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TINDAKAN rejim Zionis menyerang masjid di Palestin ketika umat Islam sedang beribadat dalam bulan Ramadan bukti kebiadaban Israel.

Serangan tidak berhati perut itu menyebabkan ramai yang tercedera dan terbaharu polis Israel turut menyerang dan menangkap lebih 400 jemaah Palestin dalam serbuan ganas di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Menurut Lapor Al Jazeera, mereka turut bertindak kejam memukul para jemaah menggunakan belantan dan senapang hingga menyebabkan kecederaan dan sesak nafas.

Tidak cukup dengan itu tentera Israel dilaporkan turut menghalang pegawai perubatannya daripada sampai ke Masjid Al-Aqsa.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengutuk serangan terbaru ke atas rakyatnya yang disifatkan sebagai jenayah.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Baitulmuqaddis adalah jenayah besar terhadap umat Islam.

Solat di Masjid Al-Aqsa bukanlah dengan izin zionis Israel, tetapi ia adalah hak rakyatnya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab yang sebelum ini dilihat lemah dalam mendepani isu serangan Israel ke atas Palestin turut mengecam kejadian itu sebagai serangan ke atas orang beriman serta mengadakan mesyuarat tergempar, manakala Jordan membidas serbuan berkenaan dan mendesak pasukan keselamatan Israel untuk meninggalkan kawasan masjid dengan serta-merta.

Bagi dunia tindakan rejim zionis Israel menyerang umat Islam di Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah sehingga mencederakan ratusan rakyat Palestin amat teruk dan melampau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres melalui jurucakapnya berkata, beliau begitu terkejut melihat rakaman yang menunjukkan pasukan keselamatan Israel memukul jemaah di masjid itu lebih-lebih lagi kejadian terbabit berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya dalam tempoh aman.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan White House, John Kirby pula berkata, Amerika Syarikat (AS) amat bimbang dengan keganasan yang berterusan, sekali gus menggesa semua pihak supaya mengelak daripada memburukkan lagi ketegangan.

Qatar yang tidak mengiktiraf Israel pula memberi amaran bahawa tindakan rejim Israel akan memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu, serta menjejaskan usaha memulihkan proses damai yang tergendala, jika masyarakat antarabangsa tidak bertindak segera.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi yang menjalin hubungan dengan Israel pada 2020 hasil langkah perantaraan AS juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis rejim Zionis itu, manakala Jerman menggesa kedua-dua pihak agar melakukan segala yang terdaya untuk meredakan keadaan.

Dalam pada itu, Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir pula menyuarakan sokongan penuh kepada polis rejim Zionis dan tindakan mereka yang disifatkannya sebagai pantas serta nekad itu.