Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih diperluas ke Sabah, Sarawak

Fadhlina beramah mesra bersama murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) pada Majlis Iftar Jalinan Kasih di sini, pada Rabu. - Foto Bernama
Fadhlina beramah mesra bersama murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) pada Majlis Iftar Jalinan Kasih di sini, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan konsep Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri-negeri lain khususnya di Sabah dan Sarawak bagi memelihara pendidikan kanak-kanak jalanan dan terpinggir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, SBJK menyediakan pendidikan formal untuk memelihara nasib kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial, tanpa dokumen, tercicir dalam pelajaran dan yatim piatu.

"Insya-Allah kita melihat dalam jangka masa panjang untuk membuat perluasan kepada konsep sekolah ini di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai isu-isu seperti ini khususnya yang terkait rapat dengan kanak-kanak tanpa dokumen dan golongan rentan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Iftar Santunan Kasih di SBJK di sini pada Rabu.

Beliau berkata, konsep pendidikan di sekolah itu tidak mengikut sistem pendidikan arus perdana, sebaliknya mengikut keperluan murid sekolah berkenaan, yang mengambil kira elemen kasih sayang dan akses kepada pendidikan formal.

Terdahulu, pada majlis itu, Fadhlina menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbiran SBJK, Mohd Zafrol Abdullah sebagai simbolik penyerahan bangunan akademik fasa satu sekolah berkenaan.

Menurutnya, sejumlah RM21 juta diperuntukkan bagi dua fasa pembangunan sekolah itu dengan RM13 juta untuk membangunkan bangunan akademik dalam fasa satu dan RM8 juta untuk membangunkan asrama pada fasa dua.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying. - Bernama